PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berjanji akan mengutamakan isu gaji penjawat awam apabila ekonomi bertambah baik.
Bercakap pada mesyuarat bulanannya dengan kakitangan Jabatan Perdana Menteri, Anwar berkata beliau akan mengumumkan beberapa perkembangan baik mengenai ekonomi pada Khamis.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penjawat awam yang memberikan respons pantas semasa banjir Johor. Saya tidak perlu memberi arahan, apabila saya menghantar mesej, perkara itu telah pun dijalankan dan dua hari berikutnya ia telah diselesaikan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang atas usaha mereka. Mengenai isu kenaikan, apabila pendapatan negara meningkat, saya akan pastikan gaji (penjawat awam) meningkat, tetapi untuk bulan ini adalah mustahil,” katanya.
Perdana menteri bagaimanapun, memberi jaminan akan memberikan gambaran yang lebih jelas tentang keadaan - mengenai pendapatan, apa yang dicapai negara dan pelaburan asing - pada Khamis, apabila beliau mengakhiri ucapan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.
Anwar sebelum ini berkata beliau secara peribadi tidak berpuas hati dengan gaji dan pendapatan penjawat awam berbanding tugas dan komitmen mereka, sambil menambah bahawa kadar kenaikan perlu dinilai berdasarkan keupayaan kewangan negara sekarang.
Beliau berkata negara berdepan defisit fiskal sebanyak 5.6% dan jumlah hutang kira-kira RM1.5 trilion, yang perlu diberi keutamaan demi menjamin kemakmuran negara terutama dari sudut ekonomi.
“Beberapa bulan ini, apabila pulangan kita dua bilion, tiga bilion, lapan bilion (ringgit) masuk ke dalam tabung negara, satu sen pun tidak bocor, jika ia bocor anda semua tahu perkara yang saya akan lakukan.
“Jika tabung negara mencukupi, penjawat awam boleh percaya saya akan mengutamakan nasib anda… kerana khidmat dan dedikasi anda layak mendapat gaji dan upah yang lebih baik,” tambah perdana menteri.– 6 Mac, 2023.
Komen