AHMAD Zahid Hamidi hari ini meniupkan semangat Barisan Nasional Pulau Pinang dengan berkata “satu perubahan besar” akan tiba di negeri yang ditadbir pembangkang itu.
Beliau berkata sudah tiba masanya untuk rakyat negeri itu membuka minda dan mengubah cita rasa, serta menerima realiti bahawa apa yang dilakukan kerajaan persekutuan BN adalah lebih baik daripada apa yang telah dicapai oleh DAP.
“Ini masanya untuk kamu ubah minda dan cita rasa kerana apa yang kami lakukan lebih baik daripada negeri. Di bawah pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak, pelbagai transformasi telah dijalankan.
“Cukup la, cukup la, cukup la,” katanya pada program Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dihadiri kira-kira 5,000 orang di Dewan Millenium dekat Kepala Batas, Pulau Pinang.
Pulau Pinang berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sejak 2018. PH, yang diketuai DAP, sedang mencari mandat baru bagi memerintah Pulau Pinang buat penggal ketiga. Daripada 40 kerusi negeri dan 13 kerusi Parlimen, BN hanya menguasai 10 kerusi negeri dan tiga kerusi Parlimen menerusi parti komponennya, Umno.
Zahid, yang merupakan pemangku timbalan presiden Umno, berkata penduduk Kepala Batas bertuah kerana mengundi ahli Parlimen dan Adun BN, sambil menambah yang perdana menteri sentiasa memantau hasil kerja wakil rakyat dan berpuas hati dengan prestasi mereka dalam menaburkan khidmat kepada rakyat.
Beliau berkata BN harus bekerja keras bagi mempertahankan dua kerusi Parlimen di Tasek Gelugor dan Balik Pulau.
“Saya sedang mengintai dua lagi kerusi. Bukit Mertajam dan Nibong Tebal. Sudah tiba masa untuk kita rampas kembali,” kata Zahid.

Beliau juga percaya kerusi seperti Permatang Pauh, Jelutong, Bayan Baru, Batu Kawan dan Bagan mampu untuk dirampas BN pada pilihan raya akan datang.
Bukit Mertajam, Bagan, Jelutong dan Batu Kawan diwakili DAP sementara Permatang Pauh, Nibong Tebal dan Bayan Baru dikuasai PKR.
“Kami yakin yang dengan izin Allah, perubahan besar akan berlaku di Pulau Pinang.
“Kami tahu kesan yang dihadapi oleh rakyat ekoran kelemahan dan penyelewengan. Kerajaan persekutuan akan menawarkan tawaran yang terbaik untuk rakyat. Kami akan berpegang pada kata-kata kami dan menunaikan janji kami,” kata Zahid, sambil menambah yang BN Pulau Pinang di bawah ketua Teng Chang Yeow harus terus mara ke hadapan.
Turut hadir pada program itu adalah Timbalan Menteri Luar Negeri Reezal Merican Naina Merican, yang juga ahli Parlimen Kepala Batas, Ketua Pengarah JPN Mohammad Razin Abdulah, ketua-ketua agensi persekutuan di Pulau Pinang, dan ketua komponen parti BN negeri. – 15 Mac, 2018.
Komen