Banjir Johor: Tidak perlu isytihar darurat, kata PM


TIADA keperluan pengisytiharan darurat di Johor susulan keadaan banjir di negeri itu masih terkawal kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya beberapa kawasan mengalami banjir termenung yang mengambil masa untuk surut.

“Keputusan kerajaan tidak isytihar darurat kerana hujan dijangka berkurangan dan di beberapa tempat (banjir) sudah sedikit surut, walau beberapa tempat mengalami banjir termenung. Ini mengambil masa sedikit untuk surut.

“Namun tidak perlu darurat setakat ini kerana keadaan cuaca semakin baik dan banjir agak berkurangan. Itu yang dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi,” katanya selepas melawat mangsa banjir di Segamat, hari ini.

Sehingga pagi ini, mangsa yang ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) seluruh negara meningkat kepada 48,989 orang.

Johor terus mencatatkan angka tertinggi dengan 44,860 mangsa dipindahkan diikuti Pahang (2,978), Negeri Sembilan (587), Melaka (493) dan Selangor (71).

Anwar yang tiba kira-kira 11.20 pagi di PPS berkenaan meluangkan masa kira-kira 20 minit bertemu mangsa banjir di PPS itu yang menempatkan 125 penduduk daripada 32 keluarga itu.

Selain beramah mesra dan bertanya khabar, beliau turut meninjau ruangan aktiviti psikologi pendidikan untuk anak-anak mangsa banjir, yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Terdahulu Anwar mendengar taklimat situasi semasa bencana banjir di daerah itu di Kem 4, Rejimen Artileri Diraja, Segamat. – 5 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen