Harga barang, kos sara hidup dalam tempoh 100 hari Anwar jadi PM


Ravin Palanisamy

Menurut data KPDN dan FAMA harga ayam dan telur sebelum dan selepas Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, tidak banyak berubah. Pada PRU15, PH membawa isu kos sara hidup dan beban kewangan rakyat dalam kempennya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2023.

KENAIKAN kos sara hidup dan beban kewangan dihadapi rakyat Malaysia adalah antara isu dimainkan Pakatan Harapan (PH) menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu..

Dan hanya beberapa hari selepas menjawat jawatan perdana menteri, Anwar Ibrahim yang juga memegang portfolio menteri kewangan, mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022 yang dihadiri wakil jabatan dan agensi kerajaan untuk membincangkan isu kos sara hidup yang menjejaskan rakyat.

Anwar memberikan jangka masa dua minggu kepada agensi kerajaan untuk mencari strategi bagi menangani isu kenaikan kos sara hidup.

The Malaysian Insight melihat bagaimana Anwar menangani isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup dalam tempoh 100 hari beliau menjadi perdana menteri.

Di bawah adalah data diperoleh daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam membandingkan harga awal ayam, telur dan sayuran. Data berdasarkan kepada harga di semenanjung.

Ayam dan telur

Menurut data KPDN pada 12 Oktober, 2022 ayam hidup pada harga borong ialah RM6.40 per kilogram (kg) dan panduan harga harian FAMA menunjukkan harga permulaan kekal sama seperti 2 Mac, 2023.

Harga permulaan ayam proses standard pada 12 Oktober untuk borong ialah RM8.10 sekilogram, dan RM9.40 sekilogram harga jualan.

Pemeriksaan dengan FAMA pada 2 Mac menyaksikan harga borong untuk ayam proses standard bermula RM7.60 sekilogram, sementara harga jual kekal sama.

Bagi ayam super, kadar harga jualan RM10.40 sekilogram pada 12 Oktober, sementara harga permulaan diturunkan kepada RM10 sekilogram pada 2 Mac.

Bagi harga telur ayam pada Oktober 2022, harga borong untuk Gred A ialah 42 sen sebiji; Gred B 40 sen dan Gred C 38 sen.

Bagi jualan, harga permulaan telur ialah 45 sen sebiji (Gred A), 43 sen (Gred B) dan 41 sen (Gred C).

Data terkini FAMA menunjukkan harga borong dan jualan untuk tiga gred telur ayam kekal tidak berubah.

Secara ringkas, tidak ada penurunan drastik harga ayam dan telur, tetapi ini kerana harga ini adalah kawalan kerajaan.

Bagaimanapun, dengan kerajaan bercadang untuk menarik balik kawalan harga untuk ayam dan telur pada Jun, harga akan nanti ditentukan oleh pasaran.

Harga sayur

Berkenaan harga sayur Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAO) pada Februari mendakwa harga beberapa sayuran melonjak lebih 160% pada Januari tahun ini.

Menurut CAP, harga bendi naik 166% daripada RM6 sekilogram pada Januari kepada RM16 sekilogram pada Februari.

Mereka mendakwa harga kacang panjang naik dua kali ganda daripada RM6 kepada RM12 sekilogram, dan tomato dari RM4.50 ke RM10 sekilogram.

KPDN di Pulau Pinang tidak menafikan kenaikan harga sayuran itu tetapi berkata keadaan masih stabil.

Pemeriksaan terkini dengan FAMA menunjukkan harga borong bendi di Pulau Pinang ialah RM5.50/kg, tomato RM7/kg dan kacang panjang RM3.30/kg.

Harga jualan sayuran ini kekal tinggi dengan bendi RM12/kg, tomato RM10/kg dan kacang panjang RM8.50/kg.

Secara keseluruhan, panduan harga harian FAMA pada 2 Mac menunjukkan harga borong bendi bermula RM5.50/kg, tomato RM4.50/kg dan kacang panjang RM2.75/kg.

Dalam tempoh 100 hari pentadbiran Anwar, harga sayur tidak turun, malah meningkat pula.

Petani bagaimanapun berkata kenaikan itu disebabkan corak cuaca yang tidak normal dan masalah kekurangan pekerja. 

Data terkini daripada KPDN menunjukkan harga siling untuk minyak masak botol 5kg pada RM30.90, RM19.60 (3kg), RM13.30 (2kg) dan RM6.90 (1kg). – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2023.

Harga minyak masak

Ketika pentadbiran perdana menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, subsidi ditarik balik untuk minyak masak botol, dengan alasan ia langkah dilakukan bagi membantu rakyat ketika pandemik Covid-19.

Susulan itu, harga minyak masak naik hampir 40% tanpa subsidi dengan minyak masak 5kg botol dijual pada harga RM43.

Peningkatan kos sara hidup juga menjejaskan pelajar universiti, yang mengadakan protes di jalanan terhadap isu itu.

Bagi membendung masalah itu, kerajaan pada masa itu menubuhkan pasukan petugas khas Jihad Tangani Inflasi bagi mengekalkan inflasi dan harga makanan pada kadar rendah, di mana ia kemudian menetapkan mekanisme harga untuk minyak masak botol.

Kaedah harga minyak masak bulanan juga diteruskan kerajaan perpaduan.

Data terkini daripada KPDN menunjukkan harga siling untuk minyak masak botol 5kg pada RM30.90, RM19.60 (3kg), RM13.30 (2kg) dan RM6.90 (1kg).

Harga itu bagi tempoh 8 Februari hingga 7 Mac, 2023. – 4 Mac, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen