Bincang dengan kami mengenai projek PJD Link, kata penduduk


Noel Achariam

Penduduk Petaling Jaya membantah pembinaan lebuh raya PJD Link. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2023.

PENDUDUK Petaling Jaya kesal dengan jawapan kabur yang diberikan oleh Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi mengenai projek mega lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link).

Mereka berkata Linggi perlu berdialog dengan penduduk kerana beliau mungkin tidak mengetahui keseluruhan transaksi daripada projek Kidex (Lebuhraya Kinrara-Damansara) yang dibatalkan.

Pemimpin Gabungan Menentang Lebuhraya PJD Link Sheikh Moqhtar Kadir berkata menteri itu memberi tumpuan kepada PJD Link dan tidak menangani bahagian Kidex yang dibatalkan oleh kerajaan negeri Selangor.

“Banyak perkara sudah berlaku sejak 2015 apabila Kidex dibatalkan.

“Kami tertanya-tanya bagaimana PJD Link disenarai dalam Pelan Lebuhraya Malaysia?” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dalam jawapan di Dewan Rakyat minggu lalu, Linggi berkata syarikat konsesi PJD Link masih belum memenuhi semua syarat yang dinyatakan dalam perjanjian konsesi.

Beliau berkata syarikat konsesi itu kini sedang melaksanakan penilaian kesan alam sekitar (EIA), penilaian kesan trafik (TIA) dan penilaian impak sosial (SIA).

Linggi berkata PJD Link mendapat kelulusan secara prinsip daripada kerajaan Persekutuan dan kelulusan dasar daripada kerajaan negeri Selangor pada 30 September 2020 sebelum Perjanjian Konsesi (CA) ditandatangani pada 5 April 2022.

Pemimpin Gabungan Menentang Lebuhraya PJD Link Sheikh Moqhtar Kadir berkata menteri menumpukan kepada PJD Link dan tidak menangani bahagian Kidex yang dibatalkan oleh kerajaan Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2023.

“Pada dasarnya, PJD Link merupakan keperluan infrastruktur negara berdasarkan Pelan Pembangunan Rangkaian Lebuhraya (HNDP) yang dijadikan asas dan rujukan bagi tujuan perancangan dan pembangunan rangkaian jalan/lebuh raya di negara ini.

“Selain itu, PJD Link juga bertujuan untuk menyuraikan kesesakan lalu lintas di sepanjang koridornya bermula dari Bandar Utama ke Kinrara melalui Petaling Jaya.”

Tambahnya, PJD Link berpotensi memberi alternatif kepada lalu lintas yang menggunakan lebuh raya Damansara-Puchong (LDP) yang kini melebihi kapasiti perkhidmatannya.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata mereka belum memberikan sebarang kelulusan kepada pemaju PJD Link.

“Tiada kelulusan daripada kerajaan negeri. Kelulusan untuk pembangunan sebelum ini datang dari Putrajaya.

“Kerajaan negeri tidak menerima sebarang cadangan perubahan untuk PJD Link,” katanya.

Sheikh berkata, kerajaan Pakatan Harapan pada 2021 menyatakan mana-mana projek yang serupa dengan Kidex tidak akan dibangunkan semula. – 4 Mac, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen