Agong titah buat kajian terperinci atasi banjir


Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bergambar bersama beberapa mangsa banjir di Maran hari ini. – Gambar Facebook Wan Rosdy Wan Ismail, 3 Mac, 2023.

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan supaya melakukan kajian terperinci bagi mengurangkan risiko dan mengatasi banjir.

Seri Paduka bertitah penyelesaian secara jangka pendek dan panjang seperti projek tebatan banjir dan usaha mendalamkan sungai yang semakin cetek adalah perlu kerana masalah banjir kini kerap berlaku.

“Kos (untuk melaksanakan projek mengatasi masalah banjir) boleh difikirkan kemudian tetapi kita kena mencari punca sebab selalu banjir, setiap tahun, setiap bulan. Ini juga tertakluk kepada sungai kecil dan longkang di bandar yang tidak diselenggara dengan baik… macam-macam sampah dilontar sewenang-wenangnya yang mungkin menjadi punca banjir,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian semasa menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan banjir Kampung Baru Sungai Chedong di Maran, Pahang hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

Al-Sultan Abdullah menitahkan mereka yang diarah berpindah supaya segera mematuhi arahan itu, selain sentiasa peka dengan keselamatan ahli keluarga serta menjaga kebersihan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Seri Paduka yang menzahirkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) kerana membantu mangsa banjir juga berharap bantuan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Semasa kunjungan itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga berkenan mengurniakan sumbangan wang tunai, barangan makanan dan kelengkapan penjagaan diri kepada mangsa banjir di Sungai Chedong dan PPS Dewan Arena YAM Tengku Muda.

Banjir di Pahang bermula pada Rabu susulan hujan lebat berterusan sehingga menyebabkan air sungai melimpah di daerah Raub, Jerantut, Maran, Pekan, Bera, Temerloh dan Rompin. Bagaimanapun banjir di Raub dan Jerantut pulih hari ini. – Bernama, 3 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen