Terlalu awal nilai prestasi Anwar, kata pakar ekonomi


Alfian Z.M. Tahir

Perdana Menteri Anwar Ibrahim setakat ini menunjukkan komitmen penuh untuk membasmi rasuah dan meningkatkan ekonomi, kata pakar ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2023.

WALAUPUN masih terlalu awal untuk menilai prestasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin dan menteri kewangan negara, Ahli Parlimen Tambun setakat ini menunjukkan komitmen penuh untuk membasmi rasuah dan meningkatkan ekonomi, kata pakar ekonomi.

Menurut mereka sudah ada gambaran kejayaan di bawah 100 hari kepimpinan Anwar tetapi menegaskan untuk melihat keputusan penuh rakyat perlu memberi sedikit masa lagi kepada kerajaan sedia ada.

Anwar kini mengetuai kerajaan perpaduan yang diketuai Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan menyokongnya sebagai perdana menteri.

Sejak hari pertama memegang jawatan pada 24 November Anwar mengeluarkan kenyataan keras menentang rasuah dan meningkatkan ekonomi terutamanya golongan miskin di negara ini.

Beberapa tangkapan juga dibuat oleh pihak berkuasa yang melibatkan mereka yang mengendalikan skim Jana Wibawa, program kewangan yang diperkenalkan oleh pentadbiran terdahulu.

Pakar ekonomi berkata kesungguhan Anwar dalam memerangi rasuah boleh mengembalikan keyakinan pelabur asing dan menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat.

Ahli akademik Putra Business School, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata dalam tempoh kurang 100 hari kerajaan berjaya menghasilkan program Menu Rahmah - satu program untuk memastikan golongan miskin dapat mengambil makanan yang sihat dan tanpa perlu berlapar kerana harga bahan mentah meningkat.

Beliau turut memuji kerajaan kerana mewujudkan projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bertujuan meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar dan B40.

“Untuk menilai beliau dalam 100 hari adalah terlalu awal. Ia mesti lebih daripada 100 hari tetapi setakat ini terdapat kejayaan yang boleh kita kreditkan kepada kerajaan.

“Menu Rahmah, IPR, memerangi rasuah, saiz Kabinet yang lebih kecil dan mengehadkan perbelanjaan pegawai tinggi kerajaan… ini adalah langkah kecil yang diambil untuk meningkatkan ekonomi dan kualiti kehidupan kita.

“Lawatannya ke negara Asean dan menerima perwakilan asing ke pejabatnya semua ini menunjukkan beliau mendapat perhatian dan ini boleh menarik perniagaan, orang ramai juga pasti yakin dengan kepimpinannya,” kata Razman.

Bagi Badrul Hisyam Ismail dari Iman Research, walaupun masih terlalu awal untuk meramal hala tuju ekonomi Malaysia, negara ini berada di landasan pemulihan yang betul.

“Ada beberapa perkara yang perlu dilihat sebelum kita boleh menilai beliau. Ekonomi kita bergantung kepada ekonomi global tetapi sekurang-kurangnya beliau melakukan perkara yang betul seperti mengurangkan bilangan anggota Kabinet, memerangi rasuah dan cuba mendapatkan semula wang 1MDB.

“Masih terlalu awal untuk melihat hasilnya. Ia mungkin mengambil masa tetapi kita berada di arah yang baik,” katanya.

Pada Ahad Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata program IPR akan memanfaatkan sektor awam dan swasta serta masyarakat untuk memacu pertumbuhan ekonomi di peringkat akar umbi melalui usaha kolaboratif melibatkan kerajaan, rakyat dan rakan strategik.

Inisiatif IPR akan melibatkan tiga segmen utama — Inisiatif Usahawan Tani (Intan), Inisiatif Usahawan Makanan (Insan) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (Ikhsan) — bertujuan untuk mengatasi masalah ekonomi harian rakyat seperti kekurangan produk pertanian, harga barang siap pakai yang tinggi, bahan makanan dan kesukaran mendapatkan pekerja untuk sektor tertentu.

Di bawah inisiatif Intan kerajaan akan membuka 800 ekar (323.7ha) tanah kerajaan persekutuan untuk menawarkan peluang untuk terlibat dalam aktiviti pertanian dan menumpukan kepada tanaman yang mempunyai jumlah perdagangan dan permintaan yang tinggi.

Keluasan tanah akan diperluaskan kepada 5,000 ekar (2,023.4ha) melalui kerjasama dengan kerajaan negeri. – 4 Mac, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen