Masjid utama dibuka sebagai PPS tambahan di Johor


Kerajaan Johor sedia membuka masjid utama sebagai PPS bagi menempatkan mangsa banjir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2023.

KERAJAAN negeri Johor sudah mula membuka masjid utama di kawasan terjejas banjir sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) tambahan, susulan peningkatan jumlah mangsa banjir.

Pengerusi jawatankuasa hal ehwal agama Islam negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata ia merupakan pelan kontingensi, yang diambil kerajaan negeri bagi menampung pertambahan tinggi penduduk terkesan banjir.

Sehingga jam 1 tengah hari tadi, sebanyak tujuh masjid di daerah Batu Pahat dibuka iaitu di Pekan Sri Medan, Parit Jayus, Parit Baru, Simpang Tiga Parit Sulong, Kampung Parit Betong, Kampung Parit Jambi dan Parit Andin 3.

Beliau berkata langkah itu juga merupakan pelan segera yang diambil bagi mengatasi kesesakan di PPS sedia ada.

“Masjid utama itu dibuka sebagai PPS dengan garis panduan disediakan bagi terus mengekalkan kemuliaan masjid.

“Ada sebahagian penduduk terpaksa bermalam dalam kereta malam tadi, bukannya nak cari salah siapa tetapi air naik dengan cepat dan kebetulan PPS sedia ada tidak dapat menampung,” kata Mohd Fared.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi lawatan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yong Peng 1 hari ini.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 218 PPS dibuka di seluruh Johor dengan lebih 30,000 mangsa banjir. – Bernama, 3 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen