Dibebaskan bangkit semangat Najib, kata Shafee


Kalidevi Mogan Kumarappa

Shafee nerupakan peguam utama bekas perdana menteri itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 3 Mac, 2023.

PEMBEBASAN Najib Razak dalam perbicaraan pertuduhan meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menaikkan semangatnya dan membangkitkan semula keinginannya untuk berjuang, kata Shafee Abdullah

Peguam utama bekas perdana menteri itu menyifatkan keputusan itu bukan sekadar pembebasan.

“Ia betul-betul menaikkan semangat dan keinginannya untuk berjuang (terhadap dakwaan kes rasuah yang lain).

“Anda perlu lihat lebih daripada itu. Hakim boleh kata tidak ada kes prima facie tapi dia juga ada penemuan khusus.

“Dalam kes Najib tidak ada elemen rasuah atau suapan (ditemui),” katanya ketika ditemui selepas keputusan dibacakan, hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskan Najib dan juga bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy daripada pertuduhan mengubah laporan akhir audit firma itu.

Hakim Zani Mazlan memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes itu di bawah Seksyen 23(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Najib, 70 yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

Beliau didakwa pada 12 Disember 2018 menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Pengauditan Akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Reaksi gembira Arul Kanda selepas keputusan dibacakan di Mahkamah Tinggi, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 3 Mac, 2023.

Arul Kanda, 45 pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindunginya daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Pihak pendakwaan menutup kes itu pada 7 September selepas memanggil 16 saksi termasuk bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa, bekas ketua audit negara Ambrin Buang dan Dr Madinah Mohamad, bekas pengerusi 1MDB Mohd Bakke Salleh dan bekas pengarah Jabatan Audit Negara Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.

Arul Kanda menyatakan kelegaannya selepas dibebaskan mahkamah.

Katanya beliau dan Najib sempat meluahkan kelegaan sebaik keputusan dibacakan di mahkamah.

“Kami berdua lega selepas keputusan dibacakan,” katanya seperti yang dipetik. – 3 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen