.jpg)
PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP), dan Persatuan Paru-paru Hijau Malaysia mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri Malaysia atas sokongan beliau berhubung pelaksanaan Generational End Game (GEG) semasa pembentangan Bajet 2023.
Kami juga mengalu- alukan usaha kerajaan untuk mengenakan cukai ke atas cecair rokok elektronik yang selaras dengan Artikel 6 Konvensyen Rangka Kerja WHO mengenai Kawalan Tembakau (WHO FCTC) yang memperuntukkan cukai dan langkah harga ke atas produk tembakau dan rokok juga mesti digunakan untuk cecair rokok elektronik.
Ini bermakna setiap pengenaan cukai perlu disusuli dengan undang-undang untuk menaikkan harga runcit dan menjadikannya tidak mampu, terutamanya kepada kanak-kanak dan remaja.
Kami kecewa kerana nikotin yang mengandungi produk tembakau, larutan cecair atau gel akan dikecualikan di bawah Akta Racun 1952.
Ini akan membolehkan rokok elektronik yang mengandungi nikotin dijual di pasaran untuk kemudahan dan tidak dianggap sebagai racun.
Justeru, kami ingin menegaskan bahawa pelaksanaan cukai ini perlu didahului dengan kelulusan rang undang-undang dengan peruntukan GEG agar kredibiliti kerajaan perpaduan terjamin.
Pelaksanaan ini akan memberi gambaran positif kepada masyarakat yang kerajaan perpaduan sememangnya sebuah kerajaan yang mementingkan kebajikan rakyat khususnya golongan yang mudah terjejas iaitu kanak-kanak dan remaja.
Kami juga ingin menyeru agar rang undang-undang ini dibentangkan segera. Ini kerana terdapat khabar angin industri tembakau telah mengemukakan cadangan perundangan baharu menggunakan Akta Makanan 1983 sedia ada.
Kami ingin mengingatkan pelobi industri tembakau mereka akan melanggar WHO FCTC kerana ia secara jelas memperuntukkan dalam Perkara 5.3:
“Dalam menetapkan dan melaksanakan dasar kesihatan awam mereka berkenaan dengan kawalan tembakau. Kerajaan hendaklah bertindak untuk melindungi dasar ini daripada kepentingan komersial dan lain-lain kepentingan industri tembakau mengikut undang-undang negara”.
Kerajaan tidak seharusnya dipengaruhi oleh pelobi industri dan harus menggubal undang-undang yang melarang campur tangan sedemikian.
Sungguh ironi tembakau, vape dan rokok elektronik yang membahayakan kesihatan kita diletakkan setanding dengan makanan.
Perundangan 1983 meletakkan kegunaan berkaitan tembakau di bawah Seksyen 36 Akta Makanan. Ia tidak sepatutnya berlaku, tetapi ia berlaku dan kekal dalam Akta selama 40 tahun yang lalu!
Kita tidak seharusnya mengulangi kesilapan yang sama dengan memasukkan rokok elektronik, vape, dan kini rokok yang diproses daripada daun herba (termasuk daun teh), ke dalam Akta Makanan kali ini.
Ia sepatutnya menjadi Akta Kawalan Tembakau yang berdiri sendiri untuk mengawal ketat produk ketagihan ini.
Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan agar tidak mudah mengalah dengan desakan industri tembakau yang bermotifkan keuntungan semata-mata.
Kebijaksanaan kerajaan dalam membuat keputusan yang tepat akan memastikan rakyat khususnya generasi akan datang bebas daripada gejala ketagihan nikotin. – 2 Mac, 2023.
* Mohideen Abdul Kader adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen