LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberi jaminan kerahsiaan data pembayar cukai di platform MyTax adalah selamat dan terjamin kerana dilindungi teknologi keselamatan data yang diiktiraf.
LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia susulan dakwaan isu kebocoran data pembayar cukai yang tular di platform media sosial.
Antara dakwaan itu ialah segala maklumat peribadi pembayar cukai boleh dicapai dengan mudah melalui platform MyTax.
“LHDN amat memandang serius berkenaan isu ini dan meletakkannya sebagai keutamaan tertinggi dalam usaha meningkatkan keyakinan serta kepercayaan pembayar cukai terhadap perkhidmatan yang diberikan dalam urusan pentadbiran percukaian,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga memaklumkan LHDN akan terus berusaha menambah baik mutu perkhidmatan dan bertindak secara proaktif dan telus bagi menangani isu tersebut. – Bernama, 1 Mac 2023.
Komen