Aktivis Sarawak tidak yakin Anwar boleh selesai kemelut MA63


Desmond Davidson

Kemelut MA63 berlarutan sejak sekian lama masih belum menemui jalan penyelesaian hingga hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2023.

DUA aktivis hak asasi Sarawak secara asasnya berpuas hati dengan pencapaian 100 hari Perdana Menteri Anwar Ibrahim meskipun mewarisi ‘kerosakan’ daripada kerajaan terdahulu.

Namun mereka merasakan kerajaan dipimpinnya itu tidak akan mampu menyelesaikan kemelut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sudah berlarutan bertahun lamanya antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak.

MA63 adalah perjanjian penting untuk Sabah dan Sarawak kerana ia menggariskan syarat penubuhan mereka dengan Persekutuan. Ia sepatutnya memberi mereka autonomi yang lebih tinggi dalam Persekutuan.

Peter John Jaban daripada Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (Sapa) berkata pihaknya gembira dengan pencapaian Anwar sejak mengambil alih tampuk pemerintahan.

Ketua Penerangan dan Publisiti Sapa berkata Anwar menunaikan janji-janji pilihan raya dengan meneylesaikan beberapa isu kecil yang menjadi punca pergeseran berterusan antara negeri dengan Persekutuan.

“Sudah tentu ada isu utama yang masih belum diselesaikan,” katanya merujuk kepada pertikaian seperti hak pemilikan pelantar dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Sarawak, Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 dan kebebasan beragama dalam kalangan minoriti Islam Sarawak.

“Saya akan beri dia beberapa ratus hari lagi untuk selesaikan pertikaian yang ada. Bukan saya seorang sahaja yang gembira dengan pencapaiannya setakat ini.

“Orang Sarawak pada umumnya nampak gembira. Selepas 60 tahun kini mereka ada timbalan perdana menteri dari negeri ini,” kata peguam bela itu merujuk kepada Fadillah Yusof.

Jaban berkata dalam rundingan bagi menyelesaikan pertikaian tuntutan Sabah dan Sarawak itu, negeri itu memerlukan autonomi mereka.

Katanya keperluan autonomi Sarawak itu bagi kemajuan dan penentuan masa depan sendiri untuk memenuhi syarat yang dipersetujui dalam pembentukan Malaysia.

“Kami dah tunggu 60 tahun untuk pengiktirafan hak yang sewajarnya. Kerajaan hari ini sememangnya ada kewajipan undang-undang dan moral terhadap kami,” katanya.

Selain itu Jaban turut menyentuh soal keputusan Indonesia memindahkan ibu kotanya ke Nusantara di Kalimantan yang sekali gus menunjukkan ada keperluan mendesak agar sempadan Sarawak dilindungi sebaiknya.

Beliau mencadangkan kerajaan Persekutuan menyusun semula unit Renjer Sarawak atau unit Peninjau Sempadan Sarawak untuk mengawal sempadan.

Renjer Sarawak dibubarkan pada 1960 untuk menjadi sebahagian Tentera British sementara Peninjau Sempadan dibubarkan pada 1974.

Kedua-duanya merupakan unit penjejak yang diangotai oleh pemuda daripada etnik Dayak. – 2 Mac, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen