FBI percaya Covid-19 merebak dari makmal di Wuhan


Pengarah FBI Christopher Wray juga menuduh kerajaan China cuba menghalang usaha AS menyiasat punca wabak Covid-19. – Gambar AFP, 1 Mac 2023.

BIRO Penyiasatan Persekutuan (FBI) percaya pandemik Covid-19 berkemungkinan besar berpunca daripada insiden di makmal di Wuhan, China, kata pengarahnya Christopher Wray. 

“FBI telah lama membuat penilaian berkenaan asal-usul wabak ini, yang kemungkinan besar berpunca daripada insiden di makmal Wuhan,” kata Wray dalam satu temu bual bersama Fox News.

Beliau berkata demikian selepas Jabatan Tenaga Amerika Syarikat awal minggu ini dilaporkan telah menentukan bahawa kebocoran dari makmal China menyebabkan penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, agensi lain dalam komuniti perisikan Amerika Syarikat (AS) percaya virus itu muncul secara semula jadi di dunia.

Wray ketika ditemu bual juga menuduh kerajaan China cuba menghalang usaha AS menyiasat punca wabak Covid-19.

“Kerajaan China melakukan yang terbaik untuk cuba menggagal dan mengelirukan kerja di sini, kerja yang kami lakukan, kerja yang kerajaan AS dan rakan kongsi asing rapat kami lakukan,” katanya. 

Dakwaan itu dinafikan pegawai di China, dan menyifatkannya sebagai kempen fitnah terhadap Beijing. – AFP, 1 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen