Operasi spesial Putin setahun kemudian


Hishamuddin Rais

PADA Jumaat 24 Februari lalu cukup 365 hari Operasi Spesial Vladimir Putin. Semua media Barat heboh bagai nak rak melaporkan  tarikh ini sebagai cukup setahun Perang Ukraine.

Tarikh satu tahun Perang Ukraine ini tidak betul. Fakta ini salah. Maklumat sengaja diputar belit.

Perang Ukraine bermula pada Februari 2014. Ini berlaku apabila kumpulan fahaman kanan termasuk gerombolan bersenjata fasis – Azov Regiment – menjalankan rampasan kuasa di Kyiv.

Presiden Viktor Yanukovych dijatuhkan. Pemimpin Ukraine ini memandu Ukraine untuk tidak memusuhi Rusia. Yanukovych melihat Rusia sebagai tetangga dan rakan niaga.

Sebulan sesudah rampasan kuasa, pada Mac 2014, Gerakan Pemisah Pro-Rusia mula bergerak. Rusia mengambil kembali wilayah Crimea. Perang meletus.

Jangan lupa pada 17 Jun 2014 pesawat MAS dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di wilayah Donbas. Ukraine tuduh ini kerja Rusia. Manakala Rusia menuduh ini kerja Ukraine.  

Pada 2015 German dan Perancis menjadi orang tengah untuk mendamaikan Ukraine dan Rusia. Perjanjian Minsk – perjanjian damai antara Rusia dan Ukraine – ditandatangani pada 12 Februari 2015.

Perjanjian ini tidak dipatuhi sepenuhnya. Soldadu Ukraine dan gerombolan fasis terus membantai warga wilayah Donbas.  

Media Barat juga melaporkan Putin mengarahkan bala tentera masuk menyerang Ukraine pada 24 Februari 2022 tanpa sebab musabab.

Ini juga tidak betul. Ini juga berita putar alam. Perang sebenarnya terus berjalan di wilayah Donbas.

Justeru, kemasukan askar Rusia menuju ke Kyiv dipanggil Special Operation oleh Putin. Ini langkah penerusan perang.

Sebenarnya Amerika dan CIA merancang lama. Projek rampasan kuasa lama mengeram di Kyiv.

Amerika melalui CIA menggunakan dan memberi dana kepada kumpulan politik berhaluan kanan dan badan NGO untuk berdemo menjatuhkan kerajaan Yanukovych yang dilihat pro-Rusia.

Apa projek Ukraine ini sebenarnya?

Projek perang ini sama seperti yang dilakukan oleh Amerika di Vietnam,  di Iraq, di Libya, di Kosovo, di Afghanistan dan di Syria.

Semua projek ini adalah projek kuasa  politik dan kuasa ekonomi Amerika Syarikat

Dalam bahasa politik ini adalah kuasa hegemon – kuasa besar – yang mahu menakluki dunia. Kuasa imperialis Amerika ini sama seperti kuasa Inggeris menjajah Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

Menjajah untuk menjarah harta kekayaan tanah jajahan. Tidak ada beza Inggeris dulu dengan Amerika sekarang.

Yang berbeza hanya retorik dan propaganda. Inggeris mahu membawa tamadun. Inggeris menganggap kita tidak bertamadun. Manakala hari ini Amerika datang dengan slogan demokrasi dan hak asasi.

Niat kuasa luar – Inggeris, Amerika atau China – adalah sama. Kuasa luar datang untuk menjarah harta kekayaan negara yang dijajah.

Kuasa imperialis Amerika ini dikepalai oleh elit politik berfahaman kanan, dibantu oleh kaum pemodal dari Wall Street, disokong oleh pemilik media dan dipasak oleh  kontraktor senjata.

Lima syarikat pembuat senjata terbesar dalam dunia ialah Lockheed Martin, Boeing, Raytheon, Northrop Grumman dan General Dynamic. 

Semua senjata Amerika dan senjata Nato dibuat oleh syarikat-syarikat  ini.

Manakala syarikat media – cetak, tv dan filem – atau lebih tepat lagi lembaga penyebar propaganda memainkan peranan penting.

Lembaga propaganda ini dimiliki oleh Fox Cooperation, Sony Cooperation, News Cooperation, Hearst Communication, Walt Disney Company dan Warner Bros.

Cara bergerak amat mudah: politikus ingin berkuasa – perlu dana untuk meraih undi. 

Kontraktor senjata yang perlu projek  akan “bersedekah” dana kepada politikus. Justeru semua bersekongkol untuk memaju dan mengembangkan kepentingan masing-masing.

Semua kerja jahat mereka akan disucikan dan dibasuh oleh kumpulan media yang mengawal maklumat sedunia. Tugas media ini ialah mengolah persetujuan orang ramai.

Contoh terbaik bagaimana media berjaya menggambarkan bekas presiden Iraq Saddam Hussein sebagai Hitler atau  Putin sebagai Hitler terbaru.

Peranan media untuk mengolah persetujuan orang ramai. Rakyat diminta bersetuju untuk menghantar senjata atau turut sama berperang.

Syarikat media ini juga mengaut untung daripada penjualan filem, program televisyen, berita dan maklumat.

Hakikatnya ini adalah ciri dan watak kerjasama kaum pemodal dalam  sistem ekonomi kapitalis. Ini bukan kapitalis kecil. Ini kapitalis bertaraf  dunia.

Syarikat dan kaum pemodal ini bukan hanya menyusun siapa naik dan siapa turun dalam politik Amerika atau di Ukraine.  

Siapa naik dan siapa turun di UK, di Kanada, di Iraq atau Syria jadi perhatian mereka. Malah siapa naik dan siapa turun di Malaysia juga dalam pemerhatian CIA.

Ini dilakukan untuk memastikan kepentingan dan keuntungan pelaburan modal mereka terjamin selamat.

Hakikatnya selagi sistem ekonomi kapitalisme wujud - dunia dan umat manusia akan terus diancam dengan wabak perang.

Apa yang berlaku di Ukraine 9 tahun ini adalah mengikut hukum sistem ekonomi kapitalis.

Operasi Spesial Putin bermula setahun dahulu membantu gerakan pemisah di wilayah timur Ukraine.

Gerakan pemisah berjaya menawan hampir semua wilayah Donbas. Wilayah timur Ukraine ini di duduki oleh etnik Rusia.

Bahasa dan budaya Rusia yang ditekan oleh kerajaan pusat di Kyiv kini bebas.

Malah wilayah Donbas ini mahu menjadi sebahagian dari Rusia. Ini dibuktikan dengan pungutan suara pada 14 Mei 2014.

Beberapa bulan setelah rampasan kuasa berlaku.

Apa sebenarnya niat dan perancangan Amerika ke atas Ukraine?

Projek Amerika dan Nato cukup jelas. Setelah tamat Perang Dingin, Rusia dan China dilihat mula bersama dalam keluarga dunia.

Keadaan ini tidak menyenangkan beberapa pihak.

Kontraktor senjata mula hilang punca pendapatan. Tanpa perang kilang senjata tidak bergerak. Para pemikir garis kanan mula hilang pengaruh kerana China dan Rusia tidak lagi dilihat sebagai musuh.

Pentagon – Jabatan Pertahan Amerika – dengan pelbagai jaringan lembaga risik  merasa cuak akan kehilangan pengaruh dan kuasa.

Justeru musuh perlu diwujudkan. Musuh lama Perang Dingin ialah Rusia dan China. 

Dalam bacaan lembaga pemikir dan intelektual kanan Amerika, pada ketika ini mereka wajib mensasar kembali Rusia sebagai musuh.

Analisa mereka jelas. Setelah USSR – Soviet Union – runtuh Presiden Boris Yeltsin mengambil alih. Sosok ini dilihat senang masuk ke dalam poket Amerika.

Suasana berubah apabila Boris Yeltsin diganti oleh Putin pada 23 Mac 2000. Putin bekas pegawai KGB – lembaga risik Rusia –  dilihat bahaya.

Kenapa bahaya?

Pertama, Rusia memiliki teknologi senjata setaraf dan malah ada yang lebih tinggi dan lebih canggih daripada Amerika.

Rusia negara terluas di dunia. Memiliki hampir pelbagai bahan galian – minyak  dan gas lebih banyak daripada apa yang ada di negara Arab.

Rusia juga kaya dengan bahan galian seperti besi, magnesium, chrome. nikel, emas putih, titanium, tembaga, timah, fosfat, tungsten emas dan intan.

Ini adalah bahan-bahan strategik dalam industri moden dan industri persenjataan.

Di bawah kepimpinan Putin, Rusia kembali membangun. Rusia bawah Putin berupaya menandingi Amerika.

Justeru, Rusia dan Putin wajib ditundukkan bawah hegemoni Amerika.

Di sini peranan Ukraine yang dijadikan alat untuk meruntuhkan Putin dan jika berjaya memecahbelahkan Rusia.

Ukraine dipancing dengan tiket anggota negara Kesatuan Eropah. Ukraine juga dijanjikan akan menjadi anggota Nato.

Menjadi anggota Nato ini tidak dapat diterima oleh Rusia. Untuk Rusia, jika Ukraine menjadi anggota Nato bermakna senjata nuklear Amerika berada depan pintu. Maka Putin melancarkan Special Operation.

Langkah balas pertama diambil oleh Amerika dan Nato ialah melakukan sekatan ekonomi. Ini dengan niat untuk menjerut leher Putin. Sekatan ekonomi dijadikan senjata ampuh.

Setakat 24 Februari 2023, seramai 10,608 individu warga Rusia sudah dikenakan sekatan. Mereka tidak dibenarkan masuk ke Amerika atau Eropah. Akaun bank mereka dibekukan. Nama mereka dalam senarai hitam.

Sebanyak 3,431 syarikat Rusia termasuk bank dan syarikat pertukaran matawang telah juga disekat daripada menjalankan perniagaan di luar  Rusia.

Sebanyak 492 lembaga kerajaan Rusia juga disekat daripada membuat perhubungan dengan negara luar.

Apa hasil sekatan ekonomi ini?

Niat dan perancangan sekatan ekonomi Biden dan Nato adalah memporakperandakan ekonomi Rusia.

Dari segi perancangan, apabila minyak mentah dan gas dari Rusia tidak ada pembeli maka ekonomi Rusia akan mengecut.

Apabila ekonomi mengecut, rakyat jadi susah. Apabila rakyat susah, mereka jadi marah. Apabila rakyat marah, mereka akan memberontak.

CIA sedia menunggu untuk menambah panas keadaan. Akhirnya, Putin  akan digulingkan.

Dari segi teori dan dari tulisan dalam kertas kerja Pantagon, semua ini akan berlaku.

Dalam realiti harian eksport minyak dan gas dari Rusia tidak berkurang. Eropah tidak lagi membeli gas dan minyak dari Rusia. Tapi Rusia ada pelanggan baru – India dan China.

Nilai ruble – mata wang Rusia – telah naik dan kukuh. Ini satu tamparan tapak kasut ke muka Presiden Biden dari White House.

Jelas lagi terang – sekatan ekonomi ke atas Rusia gagal. Malah warga Eropah sendiri menerima padah.

Harga minyak dan gas yang dulunya diimport murah dari Rusia kini jadi mahal kerana dibeli jauh dari Amerika atau negara Arab.

Untuk memperingati setahun Operasi Spesial Putin, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah mengadakan persidangan khas di New York.

Kutukan demi kutukan dihamburkan ke atas Rusia dan Putin. Amerika dan kuncu-kuncu dan Nato mengutuk keras apa sahaja yang dilakukan oleh Rusia.

Pada akhir persidangan PBB itu, satu resolusi telah diundi untuk menyelar dan mengutuk Rusia. Ini sebagai tanda menyokong perjuangan rakyat Ukraine.

Sebanyak 141 negara menyokong resolusi  mengikut telunjuk Amerika dan Nato. Sebanyak 7 negara – termasuk China dan India menentang  resolusi itu. Dan 32 negara berkecuali.

Ketika tulisan ini digarap Janet Yellen baru sahaja selesai mengadakan lawatan mengejut ke Kyiv.

Setiausaha Kewangan Amerika ini membawa AS$1.9 bilion untuk Ukraine. Ini sebahagian daripada AS$9.9 bilion yang diluluskan oleh Presiden Biden.

Setakat ini Amerika telah menghulurkan AS$19.2 bilion sebagai bantuan yang bukan berupa senjata.

Pada masa sama, Amerika bersama Nato memberi bantuan senjata berjumlah lebih daripada AS$30 bilion untuk Ukraine.

Jelas ini perang proksi. Amerika dan Nato berperang dengan Rusia. Mereka menggunakan rakyat Ukraine sebagai umpan cacing.

Apakah perang ini akan berterusan? Ke mana akhirnya perang ini? Sila tunggu minggu hadapan. – 1 Mac, 2023. 

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen