KARTUNIS kontroversi Zunar tidak akan mengubah pendirian seninya untuk mengkritik kerajaan tidak kira walau parti apa pun yang menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Katanya, kalau Barisan Nasional (BN) sekali lagi dapat mandat rakyat, beliau akan terus mengkritik rejim itu sampai suatu hari nanti tumbang dan “perjuangan itu tidak akan selesai”.
Tetapi kalau Pakatan Harapan (PH) menang dan jadi kerajaan di Putrajaya, beliau akan menghalakan pula kritikannya kepada kerajaan yang baru itu, kata Zunar.
“Saya akan berjuang, walaupun saya kalah, sehingga rejim (BN) ditumbangkan.
“Misal kata, rejim dapat ditumbangkan pada pilihan raya kali ini maka cara saya mungkin akan bertukar dan balik pada tugas asal, iaitu mengkritik kerajaan yang memerintah,” katanya dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, sempena pelancaran komik terbarunya, “Ketawa Pink Pink”.
Komiknya yang ke-18 itu akan dilancarkan pada sebuah majlis di Kuala Lumpur, malam ini.
Ditanya tentang karya-karyanya yang tidak berkecuali sebaliknya terlalu memihak, Zunar berkata beliau sengaja memilih untuk tidak berkecuali kerana matlamatnya menumbangkan sebuah kerajaan yang rasuah.
“Ketika saya berucap di persidangan kartunis di Paris, saya menyatakan kepada teman-teman kartunis yang tugas kita berbeza. Kartunis di Eropah atau Amerika Syarikat mereka mengkritik kerajaan yang memerintah.
“Untuk negara seperti Malaysia atau pun negara dunia ketiga, tugas kami adalah untuk menolak rejim. Di Malaysia ini tidak ada kerajaan, yang ada cuma rejim.
“Kerana itu saya kata, saya tidak akan cuba tukar jadi neutral kerana keadaan di Malaysia ini rasuahnya sangat teruk dan ia hanya boleh dipulihkan dengan menumbangkan rejim,” katanya.
Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque, 55, pernah beberapa kali ditahan polis. Pejabatnya juga beberapa kali diserbu sementara komiknya dirampas pihak berkuasa, sehingga hampir tidak ada pengedar yang berani dan sanggup menjual komiknya secara terbuka.
Komik terbarunya ini hanya dijual melalui online di laman webnya, www.zunar.my.
Selepas menerima anugerah keamanan antarabangsa, Cartooning for Peace Award daripada bekas setiausaha agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan di Geneva, Switzerland pada Mei 2016, Zunar dikenakan sekatan daripada ke luar negara.
Beliau kini masih berjuang mencabar sekatan imigresen itu di mahkamah, selain mencabar satu keputusan lain iaitu pengharaman ke atas komiknya “Sapuman: The Man of Steal”.
Zunar berkata dalam tempoh dua tahun ini, daripada pelbagai maklum balas yang diterimanya melalui media sosial, beliau banyak belajar tentang apa yang ada dalam pemikiran rakyat Malaysia
Daripada maklum balas itulah juga beliau mendapat idea untuk konsep komik terbarunya, yang katanya dihasilkan khusus untuk menyampaikan maklumat kepada pengundi menjelang PRU14 ini terutamanya pengundi wanita.
“
Kerana itu buat pertama kalinya, Zunar menampilkan karya ” lebih lembut” dengan warna yang dirasakannya lebih dapat diterima oleh pembaca wanita.
Untuk “Ketawa Pink Pink” ini, beliau menggunakan lebih banyak warna merah jambu dan warna-warna lembut selain mengorbankan sedikit kehendak artistiknya kerana komik ini “memang dibuat untuk pilihan raya” dan beliau mahu ia memberikan kesan kepada pembaca.
“Kalau kita tengok kartun saya dulu, warnanya lebih artistik, tapi kali ini saya terpaksa mengorbankan sikit seni itu untuk dapat maklum balas baik daripada pembaca. Masa ini untuk mendekati pilihan raya saya terpaksa buat begini,” katanya.

Tidak seperti komik-komiknya sebelum ini yang “menembak” kerajaan dan pemimpin tertingginya, komiknya kali ini mengangkat isu yang sangat dekat dengan rakyat seperti kos hidup, harga minyak, kos perubatan dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
“Kali ini saya tak tumpu sangat dengan isu rasuah, sebab rakyat biasanya tak boleh nak kaitkan (soal rasuah) dengan kehidupan mereka.
“Bagi mereka, isu rasuah berasingan daripada kehidupan, isu politik. Macam mana pun kalau bertukar kerajaan tetap ada rasuah dan ia tidak mengubah kehidupan mereka.
“Cuma saya hendak rakyat tahu bahawa merekalah sebenarnya yang membayar harga rasuah,” katanya.
Zunar berkata komiknya kali ini “lebih ringkas, lebih mesra dan lebih terkesan”.
“Ini buku pilihan menjelang pilihan raya,” katanya, dan menambah berjaya atau tidak sesuatu karya seni itu bergantung pada penerimaan khalayaknya.
“Macam mana pun besarnya nilai karya yang seseorang karyawan hasilkan tapi jika tidak ada orang baca bagi saya ia tidak berjaya.
“Harapan saya supaya orang membaca buku ini sebelum mengundi,” katanya. – 15 Mac, 2018.
Komen