Beri ruang Hajiji majukan Sabah, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta semua pihak memberi ruang kepada Ketua Menteri Hajiji Noor untuk mentadbir serta memajukan Sabah. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 28 Februari 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim meminta semua pihak supaya menghentikan segala sengketa politik di Sabah dan memberi ruang kepada Ketua Menteri Hajiji Noor untuk mentadbir serta memajukan negeri itu.

Beliau berkata semua pihak tidak sepatutnya menjadikan politik sebagai medan permusuhan dan adu domba yang tidak berkesudahan di negeri itu sebaliknya mereka perlu berganding bahu tanpa mengira latar belakang politik bagi memajukan Sabah.

“Ada mandat sekarang, gunakan mandat itu untuk jaga negeri ini, pimpinan dipilih, kita pegang amanah bukan khianat, kalau rasa nak bertarung tunggu masa pilihan raya kita bertarung.

“Sekarang bukan masa bertarung, sekarang masa menjalankan amanah mentadbir negeri dan mengangkat martabat negeri serta rakyat,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada penjawat awam negeri dan Persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

Turut hadir Hajiji, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali.

Anwar berkata dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan beliau pada Jumaat lepas, antara perkara yang diberi penekanan penting ialah menghapuskan kemiskinan tegar dan kira-kira 130,000 orang kini berada dalam kategori itu.

“Ramai (miskin tegar) di Sabah, jadi dengan apa cara juga, seluruh kekuatan Persekutuan dan negeri kita selamatkan rakyat ini… ini kita katakan tekad politik, bila kita ada tekad politik, kekal jujur, masalahnya daripada diri sendiri, mahu atau tidak, saya percaya rakyat Sabah komited dalam perkara ini,” katanya. – Bernama, 28 Februari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen