KPDN cadang tubuh jawatankuasa selesai isu industri muzik rakaman


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata satu jawatankuasa bertindak bagi membincangkan isu berkaitan industri muzik rakaman tanah air akan ditubuhkan dalam masa terdekat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari 2023.

SATU jawatankuasa bertindak bagi membincangkan isu berkaitan industri muzik rakaman tanah air akan ditubuhkan dalam masa terdekat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub.

Beliau berkata isu bayaran dan pengiraan royalti serta penubuhan badan tunggal untuk menyelesaikan isu badan pelesenan serta melindungi hak para pemilik hak cipta adalah antara perkara yang akan dibincangkan untuk dicari penyelesaian oleh jawatankuasa itu.

Salahuddin mencadangkan jawatankuasa itu dianggotai enam wakil penggiat muzik rakaman daripada bidang penulis lagu dan lirik, syarikat rakaman dan pelaku rakaman serta tiga wakil daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Isu lama pengiraan royalti nampak tidak adil, ada diskriminasi, kita nak elak mana-mana pihak menuding jari antara satu sama lain.

“Jawatankuasa ini ditubuhkan bertujuan untuk menyelesaikan isu dalam industri untuk semua sekali,” katanya dalam sidang media selepas Program Daya Kreatif: Townhall Pengkarya (Penggiat Muzik Rakaman) di Putrajaya hari ini.

Mengenai sesi townhall bersama lebih 80 pengkarya itu, Salahuddin berkata beliau mengambil maklum isu yang dibangkitkan dan memaklumkan KPDN mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan isu tersebut.

Antara pengkarya yang hadir pada sesi townhall itu ialah Nora Ariffin, Aris Ariwatan, Altimet dan Dangsuria Zainurdin. – Bernama, 28 Februari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen