.jpg)
MENTERI Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilapor berkata cadangan pilihan raya kerajaan tempatan bukan keutamaan bagi beliau selaku menteri yang bertanggungjawab.
Kenyataan beliau ini jelas satu pembohongan politik kerana agenda untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan ini termaktub dalam perlembagaan DAP untuk dilaksanakan.
Jika merujuk kenyataan menteri bahawa cadangan pilihan raya kerajaan tempatan ini bukan lagi keutamaan, bermakna beliau membelakangi agenda partinya sendiri. Ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana pemimpin DAP sendiri tidak melaksanakan agenda parti mereka.
Atas kenyataan yang terang dan nyata ini, wajar Nga letak jawatan sebagai menteri kerana jelas beliau tidak mampu melaksanakan agenda partinya sendiri, malah cuba berbohong kepada rakyat dengan mengatakan pilihan raya kerajaan tempatan bukan keutamaannya, sedangkan agenda itu tertera dalam perlembagaan partinya sendiri.
Jika agenda itu memang bukan lagi keutamaan, maka DAP harus menggugurkan agenda tersebut daripada matlamat dan dasar parti dalam perlembagaannya kerana ia sudah tidak relevan lagi.
Apa yang berlaku ketika ini menunjukkan DAP bukanlah sebuah parti yang konsisten dengan matlamat perjuangannya sendiri. DAP bukan lagi sebuah parti yang ‘walk the talk’.
Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua rakyat untuk tidak lagi meletakkan kepercayaan dan harapan kepada pemimpin dan parti yang penuh dengan hipokrasi dan tidak lagi mematuhi agendanya sendiri. – 27 Februari 2023.
* Mahdzir Ibrahim, timbalan ketua penerangan GTA.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen