Kaji selidik 100 hari kerajaan cacat, meragukan


SEMALAM lima media arus perdana, iaitu Sinar Harian, Awani, The Star, Sin Chew dan Malaysia Namban, menyiarkan dapatan kaji selidik mega Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang mereka jalankan dari 6 Februari hingga 16 Februari, 2023 dengan kerjasama firma penyelidikan O2 Malaysia.

Kaji selidik ini dinamakan kaji selidik mega kerana ia membabitkan lima media arus perdana di mana media arus perdana ini memaparkan soalan secara terbuka kepada pembaca dan pelayar agensi mereka yang pada akhirnya berjaya mendapat 35,077 respons.

Meneliti dapatan kaji selidik mega ini, ia rata-ratanya berbentuk negatif.

Daripada segi Tahap Kepuasan Hati Terhadap Usaha Kerajaan Menunaikan Manifesto PRU15, 51% Tidak Berpuas Hati dengan usaha kerajaan menunaikan manifesto PRU15 mereka, 25% Berpuas Hati dan 24% Neutral.

Daripada segi Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), 47% Tidak Menerima, 33% Menerima dan 33% Neutral.

Daripada segi Lantikan Menteri dan Timbalan Menteri, 47% Tidak Menerima, 29% Menerima dan 24% Neutral.

Daripada segi Keadaan Semasa Negara, 45% berpandangan keadaan semasa negara Lemah, 28% berpandangan Kuat dan 27% berpandangan Tidak Lemah, Tidak Kuat.

Daripada segi Situasi Ekonomi Negara, 39% berpandangan ekonomi negara dari Disember hingga Februari 2023 Bertambah Buruk, 38% berpandangan Bertambah Baik dan 23% berpandangan Tiada Perubahan.

Daripada segi Sentimen Terhadap Hubungan Kerjasama Antara Parti Politik Dalam Kerajaan Campuran, 36% berpandangan hubungan kerjasama antara parti politik dalam kerajaan Tidak Berjalan Dengan Baik, 34% berpandangan Berjalan Dengan Baik dan 30% berpandangan Tidak pasti.

Ringkasan utama dapatan kaji selidik mega ini pula adalah “walaupun kerajaan perpaduan Malaysia mempunyai dua pertiga kerusi Dewan Rakyat, tetapi tidak berpadanan dengan tahap penerimaan rakyat terhadap prestasi semasa kerajaan, adanya jurang antara sentimen rakyat dengan kerjasama pemimpin dalam kerajaan”.

Begitupun, ada juga dapatan kaji selidik mega ini yang positif, cuma kelebihan daripada segi peratusan positifnya tidak tinggi, iaitu 39% Menerima Blok Sabah dan Sarawak menyertai mana-mana parti yang menjadi kerajaan berbanding 34% Tidak Menerima, 47% Menerima Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri berbanding 37% Tidak Menerima, serta 45% berpandangan hala tuju semasa negara Betul berbanding 30% Salah.     

Kami di Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) yang pernah menjalankan beberapa kaji selidik sebelum ini ragu-ragu dengan dapatan kaji selidik mega Sinar Harian, Awani, The Star, Sin Chew dan Malaysia Namban ini.

Keraguan ini timbul kerana dari sudut metodologi ada sesuatu yang tidak betul. Kaji selidik mega ini hanya membabitkan pembaca dan pelayar Sinar Harian, Awani, The Star, Sin Chew dan Malaysia Namban sahaja.

Sebanyak 35,077 respons yang diterima adalah tidak representatif kepada pandangan seluruh rakyat Malaysia, sebaliknya ia hanyalah cerminan kepada pendapat pembaca dan pelayar lima media arus perdana ini saja.

Kebiasaannya, kaji selidik saintifik yang mempunyai tahap keabsahan tinggi dibuat secara tatap muka atau melalui panggilan telefon ke atas responden yang dipilih secara Pensampelan Rawak Berstrata atau sekurang-kurangnya secara Pensampelan Rawak Mudah meliputi semua segmentasi jantina, kaum, umur, latar belakang ekonomi, tahap pendidikan, julat pendapatan dan lokaliti.

Bagaimanapun ini tidak berlaku dalam kaji selidik mega ini kerana responden tidak dipilih secara rawak, sebab itulah sebagai contohnya 81% respons kaji selidik mega ini ialah lelaki sedangkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia menunjukkan hanya 52.3% saja rakyat Malaysia adalah lelaki.

Timbul juga isu bila lima media arus perdana ini memaparkan soalan secara terbuka kepada pembaca dan pelayar agensi mereka kerana pihak partisan tertentu yang mengetahui mengenai kaji selidik mega ini boleh sahaja masuk ke dalamnya beramai-ramai untuk memastikan dapatannya memihak kepada mereka.

Daripada sudut lain pula, terdapat banyak perkara membanggakan dilakukan Anwar dan kerajaan perpaduan, khususnya yang melibatkan reformasi institusi dan tatakelola baik.

Pengumuman hala tuju baharu kerajaan perpaduan, iaitu gagasan Malaysia Madani, baru dibuat pada 19 Januari. Gagasan ini akan didukung empat dasar semasa iaitu Rancangan Malaysia ke-12, Bajet Tahunan Kerajaan, Pelan Baharu Antirasuah serta Matlamat Pembangunan Mampan. Manakala Bajet 2023 juga baharu dibentangkan pada 24 Februari.

Pemberian Sumbangan Tunai Rahmah, peruntukan Geran Khas kepada Sabah dan Sarawak, pengekalan tarif elektrik dan kadar dasar semalaman (OPR), pengukuhan nilai RM, pengenalan Menu Rahmah dan sebagainya antara perkara bagus yang dilaksanakan.

Permukiman Menteri-Menteri Kerajaan Perpaduan, yang diisi dengan sesi taklimat khas mencakupi aspek-aspek penting ke arah pemantapan penyampaian perkhidmatan dan pengukuhan tata kelola atau tadbir urus jentera Kerajaan, juga baru dilangsungkan pada 15 Januari, manakala Pemukiman Timbalan-Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan pula baru dilangsungkan pada 25 Februari.

Pelaksanaan perolehan kerajaan yang kini dibuat secara telus dan terbuka tanpa menggunakan kaedah rundingan terus yang mengakibatkan penjimatan wang adalah satu contohnya. Pembatalan projek tebatan banjir bernilai RM15 bilion dan Jana Wibawa bernilai RM7 bilion yang dibuat secara rundingan terus sebelum ini bila ditender semula secara telus dijangka menghasilkan penjimatan sehingga RM3 bilion.

Dr Mohammad Agus Yusoff, baru dilantik sebagai ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri pada 2 Februari. Oleh itu, beliau memerlukan sedikit masa untuk membetulkan persepsi masyarakat serta menyampaikan kepada rakyat segala pencapaian Anwar dan kerajaan perpaduan.

Semakan prestasi menteri selalunya dibuat berdasarkan tiga elemen utama, iaitu prestasi kementerian atau agensi, prestasi kepimpinan menteri dari segi kecekapan inisiatif mereka serta persepsi masyarakat terhadap menteri. Kaji selidik hanyalah sekadar mencerminkan persepsi masyarakat terhadap menteri.

Kaji selidik yang dibuat dengan menggunakan metodologi yang betul, dan dalam tempoh masa yang betul, akan lebih mencerminkan pandangan sebenar rakyat. – 27 Februari, 2023.

* Dr Mashitah Mohd Udin adalah pengarah MAPAN, Universiti Utara Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen