PENAHANAN dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi tumpuan ramai tidak kira pemimpin politik, ahli akademik sehinggalah badan bukan kerajaan.
Penangkapan itu dibidas pelbagai kumpulan, termasuk Lawyers for Liberty (LFL), manakala seorang ahli akademik menggesa perdana menteri memanggil menteri pendidikan bagi memberi laporan penuh kejadian itu.
Awal hari ini, pengarah LFL Zaid Malek menuntut kerajaan menjelaskan penahanan dua pelajar lelaki itu selepas video mereka mempersendakan kertas Sejarah SPM tular di media sosial.
Beliau berkata polis bertindak terlalu tegas dengan menangkap dua pelajar SPM itu dan mengecam penggunaan berterusan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia, undang-undang yang digunakan polis untuk menahan pelajar itu.
Pakar sosiologi Dr Sharifah Munirah Alatas dalam pada itu menegaskan Anwar Ibrahim perlu memainkan peranan untuk mengetahui butiran terperinci kejadian itu, sambil menambah penahanan itu keterlaluan dan reaksi guru dalam membuat laporan itu juga keterlaluan.
Anak perempuan ahli akademik terkenal Syed Hussein Alatas itu berkata, kejadian itu juga mendedahkan masalah yang lebih besar dalam sistem perundangan dan masyarakat negara amnya.
“Serius, saya rasa perdana menteri patut panggil menteri pendidikan. Minta beliau selesaikan perkara ini. Guru terlalu terbeban, tetapi tidak terlalu banyak kerana mereka mempunyai masa untuk membuat laporan polis,” tegas Munirah.
“Tangkapan itu keterlaluan dan tidak masuk akal. Reaksi guru (dalam membuat laporan polis) dan tangkapan (oleh polis) adalah keterlaluan dan tidak boleh diterima.
“Tambahan pula, daripada membuat laporan polis, guru itu sepatutnya menunjukkan lebih kepimpinan, kematangan dan mengadu kepada ibu bapa mereka,” tambahnya.
Dilaporkan semalam dua pelajar lelaki itu ditahan selepas polis menerima laporan seorang guru.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Suffian Abdullah berkata, video yang disiarkan di TikTok dan Facebook itu menunjukkan seorang pelajar lelaki berpakaian seragam sekolah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kertas Sejarah SPM.
“Pelajar itu menggunakan kata-kata kesat untuk mengkritik mereka yang menyediakan soalan dan juga menghina Singapura,” kata Suffian dalam satu kenyataan.
Bercakap lanjut, Munirah dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata jelas ada keperluan untuk memperbaharui Akta Komunikasi dan Multimedia.
Jelasnya, dalam konteks remaja itu, kata-kata kesat mereka termasuk tindakan kebudak-budakan mereka terhadap negara jiran, bukanlah tingkah laku jenayah.
“Guru itu harus dimaklumkan atau cukup berpendidikan untuk mengetahui laporan polis tidak seharusnya menjadi langkah pertamanya menangani permasalahan ini.
“Ia reaksi kebudak-budakan terhadap peperiksaan. Kelakuan biasa golongan remaja. Saya pasti guru dan anggota polis mempunyai anak! Mereka sepatutnya tahu,” katanya. – 26 Februari, 2023.
Berita penuh di sini.
Komen