Ismail Sabri tak pertahan jawatan naib presiden Umno


Ismail Sabri Yaakob mendedahkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti bulan depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2023.

BEKAS Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau tidak akan mempertahankan jawatan naib presiden Umno.

Ahli Parlimen Bera itu berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan penuh tidak lama lagi.

“Tidak,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam balasan mesej WhatsApp hari ini.

“Saya akan keluarkan kenyataan akhbar (nanti),” katanya ketika ditanya lagi mengenai keputusannya.

Ismail Sabri adalah antara tiga penyandang jawatan naib presiden Umno. Dua lagi penyandang Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin dan bekas Menteri Besar Kedah Mahdzir Khalid akan mempertahankan jawatan itu.

Antara yang bersaing untuk merebut jawatan naib presiden adalah bekas Menteri Besar Johor Hasni Mohammad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said, ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Luar Zambry Abdul Kadir dan Reezal Merican Naina Merican.

Pemilihan Umno bermula pada 1 Februari dan akan berlangsung sehingga 18 Mac dengan pemilihan cawangan bagi jawatankuasa, Wanita, Pemuda dan sayap Puteri dijadualkan dari 1 hingga 26 Februari.

Pemilihan bagi Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac ini.

Mesyuarat perwakilan Umno Bahagian dan pemilihan berserta pemilihan Ahli Majlis Tertinggi Umno akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac – 26 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen