AHLI Dewan Undangan Negeri Damansara Utama Yeo Bee Yin malam ini mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi yang disandang sebaliknya akan bertanding di Johor.
“Saya ingin mengatakan ya untuk membawa perubahan kepada Malaysia dan untuk saya mengambil peluang menjadikan perubahan itu kenyataan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran bukunya bertajuk “Reimagining Malaysia” di Petaling Jaya.
Turut hadir penasihat DAP Lim Kit Siang dan ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.
Yeo bagaimanapun tidak menyatakan sama ada beliau akan bertanding di kerusi Parlimen atau kerusi negeri di Johor, yang disifatkan DAP sebagai negeri barisan hadapan pada Pilihan Raya Umum ke 14.
Beliau yang merupakan jurutera kimia terlatih yang berkelulusan ijazah sarjana dari Universiti Cambridge memenangi kerusi Damansara Utama pada pilihan raya umum 2013 dengan 83.6% undi dan 30,689 majoriti undi.
Yeoh memperoleh kemenangan dengan majoriti 30,689 undi, iaitu majoriti undi terbesar bagi kerusi DUN di negara ini.
Pengumuman beliau hari ini selari dengan keputusan parti untuk menukar wakil rakyat berpengalaman daripada kerusi selamat.
“Antara elemen penting dalam parti kami ialah memastikaa kami membawa masuk orang muda,” Pua memberitahu pemberita.
“Hanya dengan membawa orang muda barulah parti akan diperbaharui dan menjadi lebih baik, malah lebih dekat dengan populasi keseluruhannya. – 14 Mac, 2018.
Komen