BELANJAWAN 2023 yang dibentangkan semalam oleh Menteri Kewangan Anwar Ibrahim tertumpu untuk menghidupkan semula segmen sosio-ekonomi B40 dan M40 di negara ini dan memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan, kata pakar ekonomi.
Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata belanjawan itu menunjukkan Anwar yang juga perdana menteri berazam untuk mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dalam kalangan pelbagai golongan.
“Jika kita lihat inisiatif itu, ia agak menyeluruh dan bukan hanya diberikan dalam bentuk pemberian tunai kepada golongan miskin tegar, B40 atau M40.
“Tetapi ia lebih pada memastikan kumpulan ini akan mempunyai pendapatan boleh guna yang lebih tinggi dan dapat meningkatkan kualiti hidup mereka,” kata penganalisis ekonomi Putra Business School kepada The Malaysian Insight.
Ahmed Razman berkata Belanjawan 2023 mempunyai lebih banyak inisiatif yang memihak kepada kumpulan B40 dan M40.
“Pemberian wang tunai masih diteruskan dan pada masa sama kualiti hidup B40 akan bertambah baik melalui pelbagai skim atau inisiatif seperti baik pulih Projek Perumahan Rakyat (PPR), baik pulih sekolah, hospital yang memenuhi keperluan golongan ini.
“Bercakap mengenai mereka yang berdepan masalah kewangan, malah mereka yang berada dalam senarai muflis juga akan dibebaskan.
“Belanjawan ini juga mengecualikan mereka yang berpendapatan bulanan RM1,800 dan ke bawah daripada membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya.

Di dalam Belanjawan 2023, ahli B40 boleh menerima sehingga RM3,100 bantuan tunai.
Golongan B40 dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM2,500 layak mendapat Bantuan Tunai Rahmah sehingga RM2,500 bergantung kepada bilangan anak.
Bakul makanan dan baucar barangan makanan ruji bernilai RM600 akan dihulurkan kepada penerima Bantuan Tunai Rahmah yang berdaftar di bawah sistem e-Kasih.
Belia berusia antara 18 dan 20 tahun juga akan diberi bantuan antara RM200 dan RM400 melalui kredit e-Dompet di bawah inisiatif Belia Rahmah e-Tunai.
Ahmed Razman berkata Anwar berkongsi jalan penyelesaiannya untuk menamatkan kemiskinan tegar menerusi pembentangan belanjawan ini.
“Beliau (Anwar) mahu memastikan semua isi rumah ini memperoleh pendapatan minimum RM2,000 sebulan.
“Itu antara hasrat yang menyerlahkan komitmen kerajaan ini untuk membantu golongan miskin tegar,” katanya.
Di bawah Belanjawan 2023 Anwar memperuntukkan RM750 juta untuk Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang akan memberi kuasa kepada golongan miskin untuk meningkatkan tahap pendapatan mereka atas usaha mereka sendiri.
Beliau berkata kira-kira 130,000 rakyat Malaysia kurang berkemampuan tanpa mengira kaum akan diberi bantuan segera untuk membantu mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.
Anwar berkata skim IPR itu membolehkan peserta memperoleh pendapatan antara RM2,000 dan RM2,500 sebulan selama dua tahun, selepas itu mereka dijangka menggunakan pendapatan itu untuk menjana pendapatan masa depan.

Ahmed Razman berkata belanjawan ini bukan untuk menggembirakan sesetengah orang tetapi untuk merapatkan jurang ketidaksamaan.
“Kita dapat lihat tumpuannya berbeza di mana ia tidak semestinya menggembirakan semua orang. Malah permintaan untuk pengeluaran KWSP tidak dilayan.
“Malah T20 kini diminta untuk menyumbang lebih banyak dengan perlu membayar kadar cukai yang lebih tinggi,” katanya.
Anwar juga mengumumkan pemotongan dua peratus cukai individu bagi kumpulan pendapatan bercukai RM35,000 hingga RM100,000, satu langkah yang dijangka memanfaatkan kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dengan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300.
Beliau berkata walaupun M40 akan mendapat manfaat daripada pengurangan cukai, kerajaan akan menaikkan cukai antara 0.5 peratus dan dua peratus untuk pendapatan boleh cukai melebihi RM100,000.
Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak Prof Dr Barjoyai Bardai melahirkan rasa gembira dengan keupayaan Anwar mengimbangi belanjawan berbanding bajet yang dibuat pada Oktober 2022.
“Anwar berjaya mengurangkan defisit daripada 6% kepada 5% dan meningkatkan bantuan kewangan dan subsidi kepada golongan tertentu seperti penoreh getah, nelayan dan belia.
“Belanjawan ini menepati matlamatnya, rakyat mendapat manfaat daripadanya,” katanya.
Barjoyai bagaimanapun melahirkan rasa kecewa terhadap kerajaan kerana tidak dapat menarik lebih ramai belia menyertai program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Angka 8,000 itu terlalu kecil. Saya harapkan sekurang-kurangnya 200,000,” tambahnya. – 25 Februari, 2023.
Komen