BADAN Peguam dan Persatuan Peguam Sarawak hari ini meneruskan cabaran undang-undang terhadap pelantikan Ketua Hakim Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin.
Kumpulan peguam itu menyatakan kepada Mahkamah Persekutuan bahawa pelantikan berkenaan adalah tidak berperlembagaan dan mengelakkan peruntukan yang bermaksud untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan hakim kanan kepada 66 tahun enam bulan.
Mereka turut mempertikaikan peruntukan yang membenarkan pelantikan semula hakim yang melebihi had umur persaraan kepada mahkamah.
Bertindak sebagai amicus curiae ialah Persatuan Undang-Undang Sabah.
Raus dan Zulkefli dilantik sebagai hakim tambahan pada Julai tahun lalu, dan kekal dalam jawatan itu sehingga melebihi had umur 66 tahun enam bulan.
Raus dilantik sebagai ketua hakim pada 1 April tahun lalu dan presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli pada 4 April.
Pada 10 Oktober, Badan Peguam memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap dua hakim, bagi mendapatkan pengesahan bahawa pelantikan mereka tidak sah dan tidak berperlembagaan, dan arahan untuk memecat mereka.
Hakim Hasan Lah mengetuai tujuh panel hakim terdiri daripada hakim Zainun Ali, Ramly Ali, Azahar Mohamed, Zaharah Ibrahim, Balia Yusof Wahi, Aziah Ali dan Alizatul Khair Osman Khairuddin.
Tiada hakim bersara dilantik untuk mendengar kes itu, sebagaimana yang dicadangkan Badan Peguam bagi mengelakkan konflik kepentingan.
Peguam yang mengetuai Badan Peguam Ambiga Sreenevasan memberikan empat hujah di Mahkamah Persekutuan hari ini:
- Bahawa di bawah Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan, hakim tambahan tidak boleh dilantik oleh bekas Ketua Hakim Arifin Zakaria, yang mana pelantikan itu berkuatkuasa selepas persaraannya.
- Bahawa hakim tambahan tidak boleh dilantik sebagai Ketua Hakim atau Presiden Mahkamah Rayuan, di bawah Perkara 122(11A) yang dibacakan bersama Perkara 122B(1), 122B(2) dan Perkara 125(11).
- Bahawa pelantikan hakim oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 122(1A) dan 122B(1) tertakluk kepada perbicaraan di mahkamah, atau layak untuk semakan kehakiman di mahkamah.
- Bahawa pelantikan Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan dan selepas ketua hakim dan Presiden Mahkamah Rayuan ketika mereka masih bertugas sebagai hakim, tetapi berkuatkuasa selepas persaraan Arifin, menyalahi Perkara 122(1), 122(1A) dan 125(1).
Ambiga berhujah bahawa di bawah “tafsiran biasa” Perkara 122(1A) dan 122B(2), pelantikan Raus dan Zulkefli tidak boleh berkuatkuasa semasa tempoh Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan yang berikutnya.
Bagaimanapun, peguam kerajaan Amarjit Singh kemudiannya menjawab dalam penghujahannya bahawa Perkara 122(1A) adalah tidak “kabur” dalam memberi kuasa kepada Ketua Hakim untuk memberi nasihat kepada YDPA atas hakim tambahan, dan seseorang yang berusia lebih dari 66 tahun dan enam bulan “bukan bar” untuk memegang jawatan sebagai hakim tambahan. – 14 Mac, 2018.
Berita penuh di sini
Komen