Bank Dunia dijangka pilih presiden baharu awal Mei


Presiden Bank Dunia David Malpass baru-baru ini mengumumkan hasratnya untuk meletakkan jawatan pada 30 Jun, kira-kira setahun sebelum penggal rasmi beliau tamat. – Gambar EPA, 24 Februari 2023.

LEMBAGA Pengarah Eksekutif Bank Dunia dijangka memilih pengganti Presiden David Malpass menjelang awal Mei, lapor Sputnik.

Buat masa ini badan kewangan dunia itu sudah pun menerima pencalonan untuk pengganti Malpass.

“Pihak lembaga pengarah mengesahkan komitmen untuk membuat proses pemilihan secara terbuka, berasaskan merit dan telus untuk memilih presiden yang baharu…sesi temu duga rasmi semua calon yang disenarai pendek akan dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif,” menurut kenyataan bank itu. 

Menurut bank itu, pencalonan boleh dikemukakan sehingga 29 Mac dan calon wanita amat digalakkan. 

Baru-baru ini, Malpass mengumumkan hasratnya untuk meletakkan jawatan pada 30 Jun, kira-kira setahun sebelum penggal rasmi beliau tamat.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) Janet Yellen berkata Washington akan mengemukakan calon tidak lama lagi.

Jawatan Presiden Bank Dunia secara tradisinya dipegang oleh rakyat Amerika yang dicalonkan Washington. – Bernama, 24 Februari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen