Krisis kemanusiaan Afghanistan meruncing sejak Taliban berkuasa, kata pertubuhan


Afghanistan kini diambang krisis kemanusiaan susulan ketidaktentuan ekonomi dan kekurangan makanan. – Gambar AFP, 24 Februari 2023.

KRISIS kemanusiaan di Afghanistan semakin merosot sejak Taliban berkuasa, kata penasihat Mahkamah Diraja dan penyelia Pusat Perlindungan dan Bantuan Kemanusiaan Raja Salman, Abdullah Bin Abdulaziz Al-Rabeeah.

“Tetapi ia tidak menghalang kami untuk terus berkhidmat,” katanya.

Beliau berkata pihaknya berdepan kesukaran melaksanakan tugas di negara itu dan berharap Taliban dapat memudahkan akses bagi bantuan kemanusiaan disalurkan.

“Cabaran amat besar di Afghanistan…sungguh berharap kerajaan Taliban dapat membantu dengan memudahkan akses kerana kami mempunyai banyak perancangan untuk dilaksanakan.

“Keperluan terbesar ialah dasar keselamatan makanan, kesihatan serta pendidikan,” kata Al-Rabeeah.

Selepas Taliban mengambil alih kerajaan pada Ogos 2021, Amerika Syarikat dan beberapa sekutunya menghentikan bantuan yang telah membiayai 80 peratus perbelanjaan kerajaan, bersamaan 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Negara itu kini diambang krisis kemanusiaan susulan ketidaktentuan ekonomi dan kekurangan makanan.

Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menerusi laporannya memberi amaran bahawa Afghanistan akan berdepan risiko “keruntuhan sistemik,” dengan hampir 66 peratus penduduk memerlukan bantuan, termasuk kira-kira 17 juta rakyatnya menghadapi masalah kebuluran.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen