PELBAGAI isu yang menjejaskan sistem penjagaan kesihatan awam dan tenaga kerja disuarakan dan penyelesaian dibuat pada sesi perjumpaan yang diadakan bersama Kementerian Kesihatan di Putrajaya semalam, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Presiden MMA Dr Muruga Raj Rajathurai berkata dalam sesi perjumpaan itu pegawai perubatan (kontrak dan tetap), pakar dan perunding berkongsi secara bebas mengenai isu mereka.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dan Timbalan Menteri Kesihatan Tuan Lukanisman Awang Sauni kerana bersetuju dengan sesi perjumpaan yang dicadangkan oleh MMA ketika kami bertemu dengan menteri pada Disember tahun lepas tidak lama selepas beliau memegang jawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MMA adalah sebahagian daripada sekretariat perjumpaan yang dihadiri oleh hampir 400 doktor yang bekerja dalam sistem penjagaan kesihatan awam.
Dr Muruga berkata banyak isu tidak dapat diselesaikan dalam sekelip mata.
Beliau bagaimanapun berkata perjumpaan yang diadakan adalah satu permulaan baik.
“Menteri mempunyai kesediaan untuk melibatkan diri dengan pekerja penjagaan kesihatan, untuk mendengar dan memahami isu mereka dan beliau berjanji tiada tindakan akan diambil terhadap mana-mana doktor yang membawa isu.
“Ini penting jika kita mahu bergerak ke hadapan dan ke arah penambahbaikan yang lebih bermakna dalam sistem penjagaan kesihatan kita,” katanya.
Dr Muruga berkata isu yang dibawa oleh MMA di sesi perjumpaan dibahagikan secara meluas kepada dua kategori: sumber manusia dan kemudahan/infrastruktur.
“Di bawah sumber manusia, hal kewangan (tuntutan on-call yang lama tertunggak dan semakan gaji), eksploitasi (buli, waktu bekerja, kecurian gaji dan lain-lain) serta isu yang melibatkan doktor kontrak/doktor junior, pakar subjek dan pakar diketengahkan.
“MMA juga menekankan keperluan untuk ketelusan dalam data KKM.
“Di bawah Kemudahan dan Infrastruktur, MMA menekankan keperluan untuk pembangunan dan penyelenggaraan yang betul bagi kedua-dua infrastruktur fizikal dan digital.
“Penstandardan dan penyelenggaraan yang sewajarnya mesti ditegaskan untuk mengelakkan keruntuhan sistem rekod elektronik. Terdapat juga keperluan untuk ketelusan dalam penilaian kemudahan,” katanya.
Laporan mengenai kebakaran di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) perlu didedahkan kepada umum, tambah Dr Muruga.
Sementara itu presiden MMA turut menggesa Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi sokongan yang diperlukan kepada Kementerian Kesihatan kerana banyak isu bukan untuk kementerian sahaja untuk menangani.
Beliau berkata pembiayaan tambahan dan mewujudkan jawatan akan diperlukan untuk menyelesaikan isu sumber manusia yang dihadapi.
“Kami difahamkan daripada pertemuan kami dengan Kementerian Kesihatan bahawa menteri kesihatan menjalin hubungan rapat dengan MOF dan JPA,” katanya.
Dr Muruga berkata MMA akan membuat susulan dengan Kementerian Kesihatan mengenai perkembangannya. – 23 Februari, 2023.
Komen