PUTRAJAYA tidak boleh lagi membenarkan sebarang pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebaliknya perlu mewujudkan pelan bagi membantu golongan yang memerlukan, kata ahli akademik.
Kata mereka pengeluaran bersasar itu tidak akan menyelesaikan masalah kewangan dihadapi pihak tertentu dan sudah menjadi tanggungjawab kerajaan membantu rakyat dengan skim kewangan yang lain.
Ini susulan kenyataan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin minggu lalu yang menggesa kerajaan memberi fokus sepenuhnya bagi membangun ekonomi negara dan menjaga kebajikan rakyat.
Muhyiddin berkata ini termasuk membenarkan pengeluaran KWSP bersasar dan moratorium bagi pinjaman bank.
Katanya tiada salahnya jika kerajaan mempertimbangkan pengeluaran bersasar itu jika itu yang dimahukan rakyat bagi mengurangkan beban ditanggung mereka pada waktu sukar ini.
Bagaimanapun Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan berkata simpanan ahli KWSP menurun yang menyebabkan kerajaan melarang pengeluaran lagi.
Katanya RM145 bilion dikeluarkan daripada KWSP oleh 8.1 juta ahli ketika pandemik Covid-19 menyebabkan median simpanan pengeluar berkurang 50%.
Ahli akademik Dr Barjoyai Bardai dan Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff bersetuju dengan pendirian kerajaan itu.
Barjoyai mempersoalkan tentang siapa yang menerima manfaat daripada pengeluaran bersasar itu sama ada yang kaya atau yang miskin.
“Siapa kumpulan sasar? Mereka yang mempunyai cukup simpanan atau yang simpanannya terhad? Jika untuk yang cukup baki simpanan itu, mereka betul-betul perlukan duit ke? Atau mereka nak guna untuk pergi bercuti?
“Jika untuk yang memerlukan, adakah mereka ada duit yang cukup? 7.1 juta rakyat ada simpanan kurang RM5,000 dalam KWSP. Perlukah mereka ini dibenarkan keluarkan semua atau separuh? Cukupkah? Adakah ini membantu selesaikan masalah mereka?
“Tidak ada keperluan yang mendesak untuk kerajaan benarkan pengeluaran lagi. Mereka yang desak agar boleh keluarkan KWSP lagi ini ada motif politik sendiri,” kata pensyarah Universiti Tun Abdul Razak itu.
Baru-baru ini Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perlu mempertimbangkan masa depan ahli KWSP sebelum mereka dibenarkan mengeluarkan wang KWSP lagi.
Kata Anwar adalah lebih baik kerajaan mencari kaedah lain selain pengeluaran KWSP bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Sementara itu Razman berkata pengeluaran bersasar tidak menyelesaikan apa-apa dan kerajaan sepatutnya yang membantu rakyat.
Tambahnya keputusan kerajaan tepat dengan tidak menuruti desakan pembangkang dalam isu ini.
“Duit itu tidak sepatutnya dari poket rakyat sendiri. Itu tanggungjawab kerajaan untuk bantu rakyat.
“Ada banyak skim disediakan. Mungkin mereka perlu war-warkan supaya rakyat tahu ke mana nak tuju dan bagaimana nak dapatkan bantuan,” katanya.
Empat pengeluaran KWSP dibenarkan dalam dua pentadbiran kerajaan sebelum ini susulan impak pandemik Covid-19 melalui skim iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas.
Buat apa yang terbaik untuk rakyat
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Nadzim Johan berkata kerajaan sepatutnya melakukan apa yang terbaik untuk rakyatnya.
Beliau berharap Anwar akan memikirkan sesuatu yang boleh membantu mereka yang terjejas dengan masalah ekonomi semasa.
“Kami tak kata kami setuju dan kami juga tak kata kami tidak setuju (pengeluaran KWSP). Masalahnya ada rakyat yang memerlukan dan bantuan bersasar boleh bawa perubahan.
“Jika kerajaan kata KWSP bukan penyelesaiannya, maka benarkan Pusat Zakat atau badan lain untuk beri bantuan tanpa birokrasi atau syarat tak perlu.
“Rakyat bergelut dengan masalah kesihatan mental, ada yang terpaksa bercerai, ada yang cuba bunuh diri. Mereka perlu lebih perhatian,” katanya. – 23 Februari, 2023.
Komen