Pelajar ancam adakan protes di hadapan UKM


Kamles Kumar

Kumpulan aktivis pelajar mengancam untuk mengadakan protes di luar perkarangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membantah tindakan institusi itu menggantung pengajian seorang pelajarnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 14 Mac, 2018.

KUMPULAN aktivis pelajar mengancam untuk mengadakan protes di luar perkarangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membantah tindakan institusi itu menggantung pengajian seorang pelajarnya.

Kesatuan Mahasiswa Malaysia (Kesatuan), berkata mereka akan mengadakan perhimpunan di luar kampus berkenaan jika arahan penggantungan pelajar jurusan undang-undang UKM Asheeq Ali tidak ditarik dalam tempoh seminggu.

Asheeq, yang akan menamatkan pengajiannya dalam masa tiga bulan lagi, diberikan notis arahan penggantungan selama satu semester bermula 14 Mac sehingga 13 April oleh pihak UKM pada dua hari lalu.

Beliau digantung setahun lepas oleh universiti terbabit ekoran penganjuran perhimpunan Tangkap MO1 pada 27 Ogos 2016.

Asheeq, bagaimanapun, memfailkan kes mahkamah, dan pihak universiti mengarahkan penggantungan itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan mahkamah.

Beliau kalah dalam kes berkenaan di Mahkamah Rayuan pada 22 Februari.

Aktivis Kesatuan Anis Syafiqah berkata pihak universiti tidak wajar menghukum pelajar kerana berani bersuara.

“Kesatuan menggesa pentadbiran UKM agar menghentikan sebarang tindakan yang telah diambil terhadap Asheeq.

“Protes berkenaan akan berterusan sehinggalah pihak universiti membatalkan kesemua bentuk hukuman. Jika tidak ada tindakan daripada UKM dalam tempoh seminggu dari sekarang, kami (pelajar) tidak akan teragak-agak untuk melakukan protes di hadapan UKM,” katanya pada sidang media hari ini.

Anis berkata walaupun perhimpun itu belum ada tarik lh yang tetap, Kesatuan akan menggerakkan semua unit pelajar jika tuntutan itu tidak dipenuhi.

Kesatuan membuat gesaan berkenaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersama Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany), Persatuan Pelajar Universiti Islam Malaysia, dan sayap pelajar daripada PKR, Amanah dan PSM, serta 15 kumpulan lagi.

Kes Asheeq difailkan ke mahkamah pada Januari 2016.

Beliau memohon supaya Seksyen 15 (3) Akta Universiti dan Kolej Universiti dianggap sebagai tidak berpelembagaan, kerana menghalang pelajar daripada menyuarakan pandangan mereka.

UKM mendenda aktivis pelajar itu sebanyak RM200 dan menggantung pengajian beliau selama sebulan, sementara menunggu keputusan mahkamah. – 14 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen