SEBAGAI membalas balik kritikan para pengkritiknya, Lim Guan Eng hari ini menunjukkan sekeping foto pegawai kanan Star Media Group, Wong Chun Wai bersama seorang ahli perniagaan yang diambil pada tahun lepas, yang kini disiasat kerana didakwa menerima RM19 juta dari kontraktor projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Lim dikritik selepas gambar beliau bersama ahli perniagaan terbabit bertebaran di media sosial minggu lepas.
Wong berkata beliau tidak mengenali ahli perniagaan tersebut, yang baru-baru ini direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan menerima jutaan ringgit dari Consortium Zenith Construction Sdn Bhd bagi “khidmat perundingan” untuk menghentikan siasatan SPRM ke atas projek terowong dasar laut dan lebuh raya.
Sebagai ketua pegawai eksekutif Star Media Group (SMG), Wong berkata beliau bertemu dengan “macam-macam jenis orang” dan ramai yang tidak dikenalinya meminta untuk bergambar bersama.
“Saya tak tahu pun orang ini terlibat,” katanya, merujuk kepada suspek SPRM itu.
“Foto yang Ketua Menteri tunjuk kepada saya diambil pada malam 8 Ogos 2017 di ‘StarProperty.my Real Estate Awards Night 2107’ di Nexus Bangsar South, Kuala Lumpur. Majlis itu dianjurkan oleh Star Property, iaitu anak syarikat SMG.
“Seperti yang dibuktikan dalam foto ini, lebih daripada dua orang yang hadir, ini ialah majlis awam dan bukannya dibuat di kediaman persendirian seseorang.
“Saya memakai jaket hitam dan sudah tentulah memakai kasut semasa foto itu dirakam,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, ketika sidang akhbar di pejabatnya di Komtar, Lim menunjukkan foto itu kepada pihak media, dan berkata ahli perniagaan tersebut pernah menjadi orang kuat Barisan Nasional serta bukanlah “kawannya” seperti yang disindir oleh pengkritiknya. – 14 Mac, 2018.
Komen