Muhyiddin terima peletakan jawatan Wan Saiful sebagai ketua penerangan parti


Ravin Palanisamy

Wan Saiful Wan Jan meletakkan jawatan sebagai ketua penerangan Bersatu, hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2023.

MUHYIDDIN Yassin menerima peletakan jawatan Wan Saiful Wan Jan sebagai ketua penerangan Bersatu.

Presiden Bersatu itu berkata beliau bertemu ahli Parlimen Tasek Gelugor dan berkata menerima peletakan jawatan itu bukan kerana Wan Saiful bersalah tetapi kerana mahu menetapkan satu standard.

“Saya berjumpa dengan Wan Saiful awal hari ini dan saya bersetuju menerima peletakan jawatannya.

“Ia akan berkuat kuasa hari ini,” kata pengerusi Perikatan Nasional itu kepada pemberita di Parlimen hari ini selepas bertemu Wan Saiful.

Terdahulu, Wan Saiful berkata beliau sukarela meletakkan jawatan sebagai ketua penerangan Bersatu berikutan pertuduhan rasuahnya.

Semalam, Wan Saiful meminta dibicarakan atas pertuduhan menerima hampir RM7 juta wang sogokan berhubung program bantuan Jana Wibawa.

Beliau juga didakwa meminta rasuah RM232 juta berhubung program yang sama untuk membantu kontraktor Bumiputera yang terjejas akibat wabak itu.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Wan Saiful mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di hadapan Hakim Azura Alwi.

Beliau berkata tidak sabar untuk membuktikan dirinya tidak bersalah di mahkamah. – 22 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen