Guru tak akan pengaruh kecenderungan politik murid, kata KPM


Ravin Palanisamy

KPM berkata bagi membentuk karekter murid menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan cintakan negara murid diajar mengenai Perlembagaan Persekutuan dan tanggungjawab rakyat kepada negara bermula dari sekolah rendah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari 2023.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) yakin guru tidak akan mempengaruhi murid supaya cenderung terhadap parti politik tertentu apabila mengajar topik pilihan raya di sekolah, kata timbalan menterinya Lim Hui Ying.

“Dari segi tentang persoalan sama ada guru akan mempengaruhi (murid), jawapan kami memang tidak.

“Kami ada keyakinan terhadap guru dalam PdP Sejarah. Tugas guru mengajar apa sahaja topik secara objektif termasuk pilihan raya.

“Guru kita telah dididik dengan integriti dan bersikap objektif yang tidak mungkin mempengaruhi murid dari segi kefahaman politik,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Lim menjawab soalan tambahan Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) yang ingin tahu apakah langkah KPM bagi memastikan guru tidak mempengaruhi minda pelajar dengan sentimen tertentu supaya cenderung mengundi parti tertentu sahaja.

Beliau selain itu berkata KPM telah menyediakan bahan sokongan seperti program PowerPoint untuk guru mengajar topik mengenai pilihan raya kepada murid dengan sebaiknya.

“Dari segi DidikTV KPM juga telah menyarankan tajuk berkaitan pilihan raya,” jelas ahli Parlimen Tanjong itu. 

Menjawab soalan Wee mengenai tahap kesediaan KPM untuk memperkenalkan subjek pilihan raya dalam mata pelajaran di peringkat sekolah menengah, Lim berkata kandungan tertentu telah pun ditambah dalam sukata pelajaran.

“Kandungan berkaitan pilihan raya telah dimasukkan secara khusus dalam mata pelajaran Sejarah, dan elemen berkaitan pilihan raya dilaksanakan dalam Pendidikan Sivik serta aktiviti kurikulum.” – 22 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen