BN mungkin setuju parti penyandang pertahan kerusi DUN, kata penganalisis


Ravin Palanisamy

DAP minggu lepas berkata cadangan itu boleh dijadikan prinsip permulaan rundingan kerusi antara PH dan BN menghadapi PRN di enam negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari 2023.

PENYANDANG Adun dari Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mungkin akan dibenarkan untuk mempertahankan kerusi masing-masing pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata penganalisis politik.

Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata strategi ini diguna pakai PH sebelum ini dan terbukti berkesan.

“Strategi ini adalah formula PH, iaitu parti yang menang pada pilihan raya lepas akan kekal bertanding di kerusi sama dalam pilihan raya seterusnya. Dan sekarang formula itu dicadangkan kepada rakan kerjasama baharunya BN bagi menghadapi PRN.

“Untuk membolehkan kerjasama ini berjaya semua parti komponen dalam kerajaan perpaduan harus bersetuju untuk menggunakan strategi yang sama,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke pada Ahad lalu, yang mencadangkan supaya parti yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu kekal bertanding untuk mempertahankan kerusi yang disandang pada PRN akan datang.

Loke dilapor media berkata, cadangan itu boleh dijadikan prinsip permulaan rundingan kerusi antara PH dan BN menghadapi PRN di enam negeri.

Prof James Chin dari Universiti Tasmania juga berpandangan PH akan meneruskan strategi tersebut.

“Prinsip ini akan memudahkan rundingan kerusi antara PH dan BN kerana perbincangan hanya akan tertumpu kepada kerusi yang bukan milik dua gabungan itu,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali bagaimanapun tidak yakin BN akan menerima cadangan Loke itu.

“Bagi saya itu (cadangan Loke) cuma cadangan. Apa yang DAP cadangkan itu mungkin sukar untuk BN terima tetapi masih ada masa untuk BN dan PH berbincang.

“Cadangan itu mungkin atas keyakinan DAP mampu meraih sokongan pengundi di kawasan majoriti Cina.

“PH dan BN mesti cari titik seimbang kerana rundingan kerusi juga perlu melibatkan MIC, MCA, Amanah dan Muda,” jelasnya.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Pusat Amanah Sany Hamzan bulan lepas berkata PH Selangor akan mempertahankan semua 40 kerusi yang dimenangi gabungan itu pada PRU14.

Adun Taman Templer itu dilapor FMT sebagai berkata beliau difahamkan setakat ini PH tidak akan memberi laluan kepada BN walaupun dua gabungan itu bekerjasama membentuk kerajaan perpaduan. 

Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu perlu mengadakan pilihan raya negeri sebelum September tahun ini. – 22 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen