MCA, MIC mesti ambil apa saja kerusi boleh dapat, kata pemerhati


Ravin Palanisamy

Penganalisis menasihatkan MCA dan MIC kekal dalam BN walau tidak diberikan kerusi yang diinginkan pada PRN nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2023.

KOMPONEN Barisan Nasional (BN) MIC dan MCA mungkin tidak ada suara dalam rundingan kerusi pada pilihan raya negeri akan datang, kata pemerhati politik.

Menurut mereka dua parti yang tidak popular itu mungkin tidak mendapat apa yang mereka inginkan memandangkan persaingan merebut kerusi kini lebih hebat selepas bekerjasama dengan Pakatan Harapan dalam kerajaan perpaduan.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata parti Cina dan India itu tiada apa-apa tanpa sokongan Umno.

“Ke mana mereka nak pergi? Mereka tak ada pilihan selain kekal bersama BN dan bekerja dengan PH.

“Jika mereka putuskan untuk bergerak solo saya tidak fikir mereka ada peluang untuk menang,” kata pensyarah kanan itu kepada The Malaysian Insight.

Katanya MCA dan MIC tidak sesuai dengan Perikatan Nasional (PN) yang berpaksikan Melayu.

Mazlan menasihatkan dua parti itu kekal dalam BN walau tidak diberikan kerusi yang diinginkan pada PRN nanti.

Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu mesti mengadakan PRN sebelum September.

Persaingan merebut kerusi PRN kini lebih hebat selepas BN bekerjasama dengan Pakatan Harapan dalam kerajaan perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2023.

Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata MCA dan MIC tiada kuasa untuk tawar menawar kerana mereka lemah.

“Mereka mesti cari strategi untuk raih sokongan dan buktikan mereka boleh menang kerusi,” kata penolong profesor sains politik itu.

Katanya MCA dan MIC mesti menyokong siapa jua sekutu yang dipilih BN.

Profesor Pengajian Asia University of Tasmania James Chin berkata nasib MCA dan MIC bergantung kepada Umno, parti terkuat dalam BN.

“Sebelum ini banyak kawasan majoriti Melayu diserahkan kepada MIC atau MCA supaya mereka boleh menang.

“Jika MCA dan MIC dapat sebarang kerusi, ia perlu dirundingkan bagi pihak mereka oleh Umno atau Umno sendiri perlu serahkan beberapa kerusi mereka,” katanya,

Pada 2022, MCA bertanding 44 kerusi Parlimen namun hanya menang dua – Ayer Hitam dan Tanjung Piai. MIC menang satu – Tapah – daripada 10 kerusi ditandinginya.

Pemimpin negeri dijangka mengadakan pertemuan minggu ini untuk menetapkan tarikh pembubaran Dun.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menganjurkan pertemuan itu. – 22 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen