KETUA Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini berkata yang beliau bersedia untuk berdebat dengan menteri Umno dalam berbagai isu kerana menghormati parti tersebut.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Wee Ka Siong yang menuduh beliau mengamalkan sikap dwi standard apabila bersedia untuk berdebat dengan menteri Umno tetapi tidak pula dengan menteri MCA sepertinya.
Lim berkata Wee, yang merupakan timbalan presiden MCA, harus pandai membeza antara partinya dan Umno.
“Jika Umno mahu ambil kerusi MCA seperti di Bandar Tun Razak, dia boleh ambil. Apa yang MCA boleh buat? Siapa kamu, MCA?
“Umno adalah parti pemerintah. Kami menghormati Umno sebagai parti pemerintah. Umno adalah lawan kami tetapi kami menghormati parti itu. Umno menang 89 kerusi Parlimen (dalam pilihan raya umum 2013) sedangkan MCA hanya menang tujuh dan DAP 38,” katanya dalam sidang media di Komtar hari ini.
“Pemimpin nombor satu ialah perdana menteri, kedua ialah timbalan perdana menteri dan secara protokolnya kedudukan mereka lebih tinggi daripada ketua menteri.
“Kami terima hakikat itu. Jadi, bila kami buat cabaran, kami hari menghormati kedudukan tersebut. Jadi, kami mencabar menteri. MCA harus menerima realiti di mana tempatnya sebagai sebuah parti.”
Lim, yang merupakan setiausaha agung DAP, dan Wee bertikam lidah secara terbuka sejak Januari, selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap projek terowong dasar laut dan lebuhraya.
Perang mulut antara kedua-dua pemimpin tersebut berlarutan selepas Lim menolak pelawaan Wee untuk berdebat, menyatakan yang MCA bukan tarafnya.
“Saya bersedia untuk berdebat, tetapi ia haruslah antara pemimpin yang kedudukannya setaraf. Saya terima jika cabaran itu datang daripada parti No. 1,” kata Lim.
Beliau turut meminta Wee membalas cabaran Timbalan Setiausaha Agung DAP Nga Kor Ming untuk berdebat di Dewan Rakyat semalam.
Lim turut mencabar Wee menamakan ahli politik Pulau Pinang yang didakwa menerima sogokan hasil daripada projek terowong dan lebuhraya.
“Saya cabar dia untuk namakan kerajaan negeri mana, siapa yang korup dan bersubahat dalam (dakwaan) rasuah melibatkan kontraktor Zenith, syarikat yang dianugerahkan projek tersebut.
“Sehingga sekarang dia tidak namakan pemimpin kerajaan negeri mana yang terima sogokon bernilai jutaan ringgit, seperti dilapor media Barisan Nasional. Jika dia ada bukti, dia tidak patut diam.”
Lim berkata kerajaan Pulau Pinang sudah cukup letih dan lelah melayan soalan yang dibangkitkan Wee tentang projek terowong dan lebuhraya kerana semuanya bersandarkan penipuan, seperti yang didakwa menteri terbabit bahawa kononnya sebuah syarikat fesyen membina terowong tersebut dan perjanjian projek itu tidak ditandatangani.
“Ia adalah penipuan (ada berlaku korupsi di peringkat negeri), kerana projek berkenaan diberi secara tender terbuka. Sebelum bayaran dibuat, sebarang tuntutan harus disemak oleh syarikat perunding kejuruteraan bebas.
“Kami melantik dan membayar HSS Integrated untuk memeriksa tuntutan daripada kontraktor. Setahu saya, HSSI masih belum dipanggil SPRM. Jadi, di mana berlakunya rasuah?” – 14 Mac, 2018.
Komen