Berita kami dimanipulasi, kata Awesome TV


Alfian Z.M. Tahir

AWESOME TV mendakwa laporan Berita 757 mengenai dakwaan penjawat awam akan dibuang telah dimanipulasi pihak tertentu.

Saluran televisyen swasta itu berkata ia tidak mempunyai kepentingan lain selain memainkan peranan sebagai saluran berita yang telus dan ikhlas.

“Berita 757 melaporkan pemerhati mencadangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menilai dan menyusun semula jumlah penjawat awam daripada 1.6 juta kepada 800,000 kerana jumlah perbelanjaan tahunan penjawat awam mencecah nilai tinggi RM114.9 bilion.

“Ini susulan laporan The Edge bertajuk ‘Reducing Government Opex Warrants a Look Into Emoluments’ bertarikh 15 Februari 2023.

“Bagaimanapun, beberapa pengamal media sosial memanipulasi laporan Berita 757 menyebabkan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengeluarkan kenyataan bahawa Berita 757 telah membuat laporan palsu dan fitnah,” kata Awesome TV dalam satu kenyataan.

Akhbar itu mendakwa isu berkenaan menjadi topik hangat apabila pengamal media sosial yang tidak bertanggungjawab memanipulasi berita tersebut.

Ini termasuk bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Adam yang mengeluarkan kenyataan palsu mengaitkan Awesome TV dengan Astro dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Ini tidak benar sama sekali. Awesome TV tiada kaitan dengan Astro atau mana-mana parti politik.

“Kami menolak sekeras-kerasnya kenyataan Lokman yang cuba mengaitkan berita ini dengan isu sentimen perkauman. Ini satu provokasi,” kata Awesome TV.

Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata pihaknya membuka kertas siasatan terhadap Awesome TV berhubung laporan beritanya yang mendakwa bilangan penjawat awam akan dikurangkan.

Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 206 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana gagal mematuhi syarat lesennya.

Pada Isnin, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dilaporkan berkata bahawa SKMM akan mengadakan pertemuan dengan Awesome TV untuk mendapatkan penjelasan berhubung laporan berita itu.

SKMM berkata ia memandang serius aduan daripada pengguna dan komited untuk meningkatkan tahap pematuhan oleh pemegang lesen Penyedia Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP-I) individu supaya kandungan yang disiarkan mencerminkan budaya, identiti dan norma masyarakat. – 21 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen