Pendakwaan terpilih akan hanya tambah sokongan pada Perikatan, kata Azmin


Ravin Palanisamy

Pendakwaan terpilih dilakukan kerajaan perpaduan PH-BN tidak akan menghalang Perikatan Nasional pada pilihan raya negeri akan datang, kata Mohamed Azmin Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2023.

PENDAKWAAN terpilih dilakukan kerajaan perpaduan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak akan menghalang Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata Mohamed Azmin Ali.

Merujuk kepada pertuduhan rasuah dikenakan terhadap Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan hari ini berhubung program bantuan Jana Wibawa, Azmin yang juga ketua penerangan PN berkata kerajaan PH-BN menyerang PN untuk merosakkan peluang gabungan itu pada PRN yang akan diadakan di enam negeri.

“Ini (pendakwaan terhadap Wan Saiful) adalah satu lagi bukti yang PH dan sekutu baharu mereka Umno, takut dengan sokongan kuat Malaysia terhadap PN.

“Ini hanya rancangan mereka untuk melemahkan PN sebelum PRN.

“Kami yakin pada PRN akan datang, rakyat akan sekali lagi memberikan isyarat kuat kepada PH dan Umno kerana tidak memenuhi janji dibuat pada PRU15,” kata Azmin yang turut hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagi memberikan sokongan moral kepada Wan Saiful.

Azmin yang juga ahli majlis tertinggi Bersatu, berkata beliau yakin PN akan menerima lebih banyak sokongan daripada masyarakat awam apabila pendakwaan terpilih disasarkan kepada mereka.

Awal hari ini, Wan Saiful yang juga ahli Parlimen Tasek Gelugor mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta, berhubung program Jana Wibawa.

Beliau turut didakwa meminta rasuah RM232 juta berkaitan program sama yang bertujuan membantu kontraktor Bumiputera yang terjejas akibat pandemik.

Azmin berkata pendakwaan didorong politik disasarkan kepada PN untuk menutup kelemahan “kerajaan gagal”.

“Hampir tiga bulan sejak kerajaan perpaduan berkuasa tetapi tidak ada langkah dan tindakan diambil untuk membantu rakyat.

“Saya nampak usaha pesaing kami hanya untuk menutup kelemahan, kegagalan mereka mentadbir negara, menguruskan ekonomi lebih berkesan dan cekap, terutama berkaitan kos sara hidup.

“Jadi, untuk tutup kelemahan, mereka serang PN untuk melemahkan kami,” katanya.

Azmin berkata rakyat zaman ini lebih matang untuk memahami ketidakmampuan kerajaan perpaduan dalam menguruskan negara. – 21 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen