SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dialu-alukan untuk menyiasat PKR jika parti itu didapati terlibat penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan dana, kata presiden parti Anwar Ibrahim.
Perdana menteri memberitahu Dewan Rakyat yang beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan agensi antirasuah itu jika mahu menyiasat PKR dan mengarahkan badan itu menjalankan tugas apabila perlu.
“Dalam pertemuan pagi tadi dengan semua badan (pencegah rasuah) ini, saya memberitahu mereka yang saya tidak kisah dari parti mana (yang dituduh).
“Walaupun ia daripada PKR sendiri. Saya tidak boleh jamin parti itu 100% bersih,” katanya.
Sementara itu, ahli Parlimen Tambun itu juga berkata beliau sudah mengarahkan pihak berkuasa meneruskan siasatan terhadap individu terkemuka yang dinamakan dalam Kertas Pandora.
Beliau berkata agensi seperti polis, pusat jenayah anti-kewangan negara (NFCC), Bank Negara Malaysia (BNM), SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sudah memaklumkan perkembangan siasatan mereka.
“Ada yang sudah dipanggil oleh LHDN dan SPRM untuk menjelaskan ratusan juta yang disimpan dalam akaun bank luar pesisir, serta sumber dan.
“Siasatan sedang berjalan dan saya berpuas hati dengan langkah yang diambil oleh pihak berkuasa,” kata Anwar.
Anwar menjawab soalan Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang meminta perdana menteri menjelaskan tindakan Putrajaya untuk memulihkan keyakinan orang ramai berikutan kebocoran Kertas Pandora.
Pada Oktober 2021, Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ), yang terdiri daripada 600 wartawan di seluruh dunia, membocorkan 11.9 juta dokumen dan rekod daripada 12 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan mengurus shell company dan amanah di kawasan perlindungan cukai di seluruh dunia, termasuk Cook Island dan British Virgin Islands, atau BVI.
Kebocoran itu menjadi tajuk utama di seluruh dunia dan dipanggil Kertas Pandora.
Dilaporkan sekurang-kurangnya 10 rakyat Malaysia yang kaya, termasuk ahli perniagaan dan ahli politik, dinamakan dalam Kertas Pandora, yang mendedahkan mengenai syarikat luar pesisir dan amanah yang digunakan untuk menyimpan kekayaan dan mengelak cukai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said baru-baru ini berkata siasatan sedang dijalankan dan pihak berkuasa memerlukan maklumat tambahan dari luar negara. – 21 Februari, 2023.
Komen