‘Pendakwaan terpilih’ untuk lumpuhkan sokongan kepada Bersatu, kata Muhyiddin


Ravin Palanisamy

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin hadir ke Mahkamah Sesyen KL hari ini bersama beberapa pemimpin Bersatu dan PN lain termasuk Hamzah Zainuddin, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 Februari, 2023.

KERAJAAN perpaduan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bertindak melakukan “pendakwaan terpilih” untuk menyekat sokongan yang semakin meningkat terhadap Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), kata Muhyiddin Yassin.

Merujuk kepada Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan rasuah, pengerusi PN itu berkata kerajaan PH-BN menjangkakan pendakwaan terpilih akan melemahkan PN menjelang enam pilihan raya negeri (PRN).

“Pendakwaan terpilih ini berlaku pada masa di mana kerajaan PH-BN dilihat gagal menyelesaikan masalah rakyat dan dijangka akan ditolak pada PRN di enam negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Bersatu sudah menjangkakan kerajaan PH-BN akan melakukan begini untuk melumpuhkan parti selepas melihat sokongan kepada Bersatu dan BN meningkat pada Pilihan Raya Umum ke-15, di mana PH dan BN tidak jangka langsung,” kata bekas perdana menteri itu pada sidang media di luar mahkamah hari ini.

Muhyiddin bersama beberapa pemimpin Bersatu dan PN lain termasuk Hamzah Zainuddin, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin turut hadir di mahkamah pagi ini untuk memberikan sokongan moral kepada Wan Saiful.

Awal hari ini, Wan Saiful yang juga ahli Parlimen Tasek Gelugor mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah bernilai hampir RM7 juta berhubung program bantuan Jana Wibawa.

Beliau juga didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta. – 21 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen