Saudagar berkopiah di pasar pagi


“Wallahi, saya undi PAS…”

DEMIKIANLAH lafaz akad pengundi di Kampung Tok Hakim, Kuala Terengganu sebelum dibekalkan pitis sebagai hibah menghargai jihad mereka.

Klip video upacara berkenaan sudah tular di media sosial dan sejujurnya saya tidak terkejut. Sedikit pun tidak.

Bersumpah atas nama Allah, di dalam rumah Allah, untuk mengundi parti yang kononnya memperjuangkan agama Allah - saya yakin ini bukan ajaran Allah.

Lebih mengujubkan, Presiden PAS sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa pemberian wang tunai semasa pilihan raya adalah sedekah dan bukannya rasuah.

Kita semua kenal dengan Presiden PAS - Tuan Guru Haji Hadi Awang, mantan Duta Khas ke Timur Tengah yang tidak pernah menjejakkan kaki ke negara-negara Arab sebagai duta.

Maklumlah International Union of Muslim Scholars (IUMS), pertubuhan yang menamakan Hadi Awang sebagai Timbalan Presiden diiktiraf sebagai ‘pertubuhan pengganas’ oleh Arab Saudi dan rakan sekutu mereka. 

Jadi lawatan kerja Muhyiddin Yassin sebelum ini ke Tanah Suci tidak dapat disertai oleh Duta Khas itu sendiri.

Ini bukan kali pertama Tuan Guru mempunyai pendirian yang jelas bercanggah dengan badan Islam.

Barangkali masih ada pembaca yang ingat tentang Amanat Haji Hadi, satu ceramah umum yang disampaikan di Kampung Banggol, Kuala Terengganu pada April 1981. 

Kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Hindu, Kristian, tapi kita (sudah) menjadi kafir dengan mengatakan ‘politik suku, agama suku.’

Ucapan tersebut dicetak dalam bentuk poster dan ditampal di dinding markas PAS. 

Kemudiannya, Amanat Haji Hadi diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai bercanggah daripada ajaran Islam.

Tindakan mengkafirkan ahli Umno ini mengundang peristiwa solat dua imam - ahli Umno di surau, ahli PAS di markas. 

Waktu itu, daging sembelihan oleh orang Umno juga dikatakan haram. Mengahwini mereka juga haram.

Mujur zaman gelap itu sudah berlalu. Namun, bibit-bibit kebencian terhadap saudara seagama berlainan parti dilihat mula bertandang kembali lebih-lebih lagi sejak PRU-15.

Dalam satu ceramah politik Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Sik, Shahiful Nasir mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan mengundi Barisan Nasional dan Pakatan Harapan akan membawa ke neraka.

Ya, fatwa sesat sedemikian masih dikeluarkan pada tahun 2022.

Dalam satu program ‘walkabout’ di Tebuk Pancor, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria mendakwa Anwar Ibrahim cuba membawa agenda LGBT yang bertentangan dengan Islam ke Malaysia. 

Sebaik diheret ke muka pengadilan beliau akhirnya membuat permohonan maaf terbuka kerana mengeluarkan fitnah tersebut.

Malah sepanjang musim berpilihan raya tuduhan ejen Mossad, Israel dan Freemason dilemparkan berterusan terhadap Anwar Ibrahim tanpa sebarang bukti.

Saya yakin ini bukan PAS yang dibawa oleh Dr Burhanuddin al-Helmy, Prof Zulkifli Muhammad, Asri Muda, Yusuf Rawa, Fadzil Noor dan Nik Aziz.

Agama sebagai modal untuk berdagang politik adalah strategi usang dan songsang yang perlu ditinggalkan jauh-jauh. 

Kita ibaratkan berpolitik itu seperti menjual sayuran di pasar pagi. Peniaga adalah politikus, pembeli adalah pengundi. Cara terbaik untuk menarik pembeli adalah dengan mempromosi produk masing-masing.

Ada yang terpekik-pekik menyatakan betapa sayur mereka terbaik kerana ditanam sendiri dan disuburkan baja organik.

Ada yang terlolong-lolong menegaskan betapa sayur mereka terbaik kerana diterbangkan dari negara orang dan tidak bisa ditemukan di mana-mana.

Satu lagi peniaga, orangnya berkopiah dan berpesalinan jubah, tidak langsung memberi fokus kepada produk mereka. Strategi mereka adalah memburukkan pesaing.

Itu tidak betul, ini tidak betul. Mereka sahaja yang betul. Sampaikan pembeli tidak tahu apa sebenarnya yang ditawarkan mereka.

Untuk saya mengatakan strategi ini tidak berkesan adalah kurang tepat. 

PAS mengamalkan cara berniaga ini dan mereka menang besar dalam PRU-15. Dengan 43 kerusi, PAS merupakan parti yang mempunyai paling ramai wakil di Dewan Rakyat. 

Perikatan Nasional juga berjaya menyapu bersih kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah. Tsunami hijau sudah melanda.

Analisis awal oleh Bridget Welsh, Penyelidik Kehormat Institut Kajian Asia Malaysia, Univerisiti Nottingham mendapati anggaran sokongan pengundi Cina dan India terhadap Perikatan Nasional dalam PRU-15 adalah serendah 0.05 peratus. 

Hal ini adalah tidak sihat bagi parti yang ingin memerintah negara berdemografi rencam seperti Malaysia. Sesuatu perlu diubah.

Sekiranya PAS memilih untuk terus berpolitik dengan cara lama, mereka hanya akan menjadi punca ketakutan orang ramai terhadap Islam. Walhal Islam itu agama yang indah dan mudah.

Ingatlah, PAS adalah sebuah parti dan bukannya agama. Syahadah kita bersaksikan Azza wa Jalla dan Muhammad SAW. J

angan terlalu taksub berpolitik sampai dijual agama sebagai cagaran untuk meraih undi. 

Wallahualam. – 19 Januari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen