Status wakil rakyat: Antara kuasa speaker dan DUN


G Manimaran

Speaker Ng Suee Lim pada minggu lalu isytihar kerusi Batang Kali kosong susulan penyandangnya, Harumaini Omar tidak hadir sidang dewan selama enam bulan sejak Julai 2022. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2023.

DUA kes berkaitan status Adun mendapat perhatian sejak dua minggu lalu. Satu kes membabitkan wakil rakyat yang baharu dipilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Perak, November lalu manakala seorang lagi pula anggota Dewan Negeri Selangor yang dipilih pada 2018, tetapi menjadi isu minggu lalu.

Kes kedua menjadi polemik hangat menjelang pilihan raya bagi kerusi negeri Selangor yang akan berlangsung tahun ini, dijangka selepas Julai ini.

Dalam kes pertama, dua minggu lalu, Mahkamah Persekutuan mengenakan semula denda RM10,000 yang dikenakan oleh lembaga tatatertib peguam bela dan peguam cara Majlis Peguam terhadap Adun Sungkai di Perak A Sivanesan kerana salah laku profesional, 13 tahun yang lepas.

Dalam ulasannya, beliau yang juga exco kesihatan, sumber manusia, integrasi dan hal ehwal masyarakat India menegaskan, keputusan itu tidak menjejaskan kedudukannya sebagai wakil rakyat.

Wakil rakyat empat penggal itu berkata, keputusan tersebut tidak tertakluk kepada Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kehilangan kelayakan wakil rakyat.

Menurutnya, keputusan yang dikenakan itu melibatkan kes sivil dan bukan sabitan kes jenayah untuk hilang kelayakan sebagai Adun.

Katanya: “Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan mengatakan jika seorang ahli Parlimen didapati bersalah melakukan perbuatan jenayah dan dihukum penjara selama dua tahun atau didenda lebih daripada RM2,000 akan kehilangan kelayakan beliau jadi wakil rakyat.”

Beliau seterusnya menggariskan kes itu sebagai keputusan jawatankuasa lembaga tatatertib peguam bela dan peguam cara, dan bukannya mahkamah. Oleh itu, beliau berkata, tidak berkaitan.

Undang-undang

Pandangan beliau memang menarik untuk diteliti dalam landskap pilihan raya. Dan, ia adalah satu kes yang menguji peranan dan fungsi speaker dan dewan perundangan sebagaimana telah disaksikan dalam beberapa kes sebelum ini.

Artikel 48(1) Perlembagaan Persekutuan menggariskan enam keadaan seseorang wakil rakyat akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen, iaitu:

(a) dia adalah dan didapati atau diisytiharkan tidak sempurna akal; atau

(b) dia seorang bankrap belum lepas; atau

(c) dia memegang sesuatu jawatan berpendapatan; atau

(d) setelah dinamakan untuk pemilihan ke mana-mana satu Majlis Parlimen atau ke Dewan Undangan sesuatu negeri, atau setelah bertindak sebagai ejen pilihan raya bagi seseorang yang dinamakan sedemikian, dia tidak menyerahkan apa-apa penyata perbelanjaan pilihan raya yang dikehendaki oleh undang-undang dalam masa dan mengikut cara yang dikehendaki sedemikian; atau

(e) dia disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah atau Sarawak atau di Singapura) dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan dia tidak mendapat pengampunan bebas; atau undang-undang Malaysia; atau

(f) dia dengan sukarela memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan, atau telah dengan sukarela menggunakan hak kewarganegaraan di mana-mana negara di luar Persekutuan atau telah membuat suatu akuan setia kepada mana-mana negara di luar Persekutuan.

Sivanesan memberikan alasan beliau yang statusnya masih kekal sebagai Adun, dan seterusnya membolehkan beliau mengekalkan jawatan exco kerajaan negeri Perak.

Perkara itu masih boleh dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak untuk diuji, dan akan membawa kepada peranan speaker untuk menentukan kedudukan beliau kelak, sekali gus memuktamadkan statusnya.

DUN Perak dijadual untuk mengadakan sidang pertamanya dalam waktu terdekat; kemungkinan bulan depan. Keputusan DUN kelak boleh menentukan sama ada akan diadakan pilihan raya kecil ataupun sebaliknya.

Tugas dan kuasa speaker

Dalam menentukan kedudukan seseorang wakil rakyat yang dipilih speaker memainkan peranan penting.

Ini terbukti dalam beberapa kes sebelum ini dan yang terbaru membabitkan Adun kerusi Batang Kali, Harumaini Omar yang diisytiharkan Speaker Ng Suee Lim sebagai bukan lagi wakil rakyat yang sah pada Khamis lalu.

Bagaimanapun pemimpin Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mencabar keputusan itu dengan mendakwa speaker telah terkhilaf daripada segi fakta dan undang-undang dalam mengambil keputusan tersebut.

Keputusan itu dibuat kerana Harumaini tidak hadir sidang dewan selama enam bulan bermula pada 28 Julai, 2022 dan sehingga pada 27 Januari, 2023 menyebabkan kerusi itu dikosongkan.

Pejuang mempertahankan Harumaini dengan menegaskan, perkiraan enam bulan itu seharusnya bermula 23 November, 2022 iaitu tarikh bermulanya Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022. Harumaini juga dilaporkan mengutus surat kepada Suee Lim bagi memohon pengisytiharan pengosongan kerusi beliau ditarik balik.

Pejuang menyatakan hak kebebasan untuk hadir dan berbahas bagi rakyat di Dewan Negeri atau Dewan Rakyat adalah tunjang pada sistem demokrasi berparlimen. Parti itu juga menggesa Suee Lim memberikan jawapan segera berkenaan perkara itu agar ia tidak dijadikan mainan politik semata-mata. Jika tidak kemungkinan beliau akan membawa kes tersebut ke mahkamah.

Kerusi itu dimenangi atas tiket Bersatu pada 2018 dan dimiliki Pejuang susulan penubuhannya dua tahun lalu dan keluar Bersatu.

Suee Lim kekal dengan pendiriannya. Beliau menegaskan pengumuman mengenai kekosongan kerusi Batang Kali itu dibuat berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959. “... saya menjalankan tugas sebagai Speaker DUN berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, Artikel 69,” kata beliau semalam, sambil menambah, mana-mana ahli Dewan Negeri yang gagal hadir selama enam bulan berturut-turut, speaker diberi kuasa untuk mengisytihar atau mengumumkan kekosongan berkenaan.

Pada 2011, speaker ketika itu, Teng Chang Khim memutuskan wakil rakyat Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah sebagai hilang kedudukan dalam kes yang sama sifatnya iaitu “tidak hadir untuk tempoh enam bulan tanpa alasan munasabah”.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan speaker itu.

Suee Lim juga mengatakan akan menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memaklumkan kekosongan kerusi Batang Kali minggu ini.

Mengikut laporan media, dalam kes Badrul Hisham, pada Ogos 2017, ketua hakim negara Md Raus Sharif memutuskan mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan dalaman Parlimen atau mana-mana DUN yang kebal daripada campur tangan badan kehakiman.

Beliau yang mempengerusikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan memaklumkan kekebalan itu timbul hasil daripada doktrin pemisahan kuasa di antara tiga organ utama pemerintahan iaitu badan eksekutif, legislatif dan kehakiman.

“Tiada keraguan urusan Parlimen dan DUN adalah kebal daripada campur tangan badan kehakiman,” katanya dalam membuat keputusan tindakan Chang Khim dalam mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong pada 2011 tidak boleh dicabar di mahkamah.

Kuasa siapa?

Kini timbul sama ada speaker dan dewan perundangan mempunyai kuasa dalam menentukan kekosongan satu-satu kerusi, dan batasan peranan SPR dalam menentukan tindakan susulan iaitu mengadakan pilihan raya kecil.

Seksyen 12(3) Akta Pilihan Raya 1958 menyebut “berhubung dengan sesuatu kekosongan yang hendaklah dipenuhi dalam sesuatu pilihan raya kecil, suatu writ hendaklah dikeluarkan tidak dahulu daripada empat hari dan tidak lewat daripada 10 hari dari tarikh kekosongan itu disahkan berlaku oleh SPR.”

Mengenai kekosongan di dalam Dewan Negara dan kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat, Artikel 54(1) Perlembagaan Persekutuan menggariskan bahawa “kecuali sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Fasal (3), apabila terdapat sesuatu kekosongan di kalangan ahli Dewan Negara atau sesuatu kekosongan luar jangka di kalangan ahli Dewan Rakyat, maka kekosongan atau kekosongan luar jangka itu hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara ada kekosongan atau oleh SPR ada kekosongan luar jangka, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan suatu pilihan raya hendaklah diadakan atau suatu pelantikan hendaklah dibuat dengan sewajarnya”.

Artikel yang sama memberi pengecualian untuk diadakan pilihan raya jika mandat semasa tinggal dua tahun ataupun kurang.

Lazimnya peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan hampir sama di peringkat negeri, kecuali dalam keadaan tertentu ada perbezaan sedikit daripada segi peruntukan khusus.

Misalnya dalam kes membabitkan keputusan speaker DUN Kedah dalam mengisytiharkan Adun Kota Siputeh, Abu Hasan Sharif sebagai hilang kerusi kerana tidak hadir mesyuarat dewan dua kali berturut-turut pada 2009. Kes itu berakhir pada tahun 2017 dengan keputusan mahkamah.

Ia merupakan kes pertama sejak kerajaan negeri Kedah dikuasai oleh gabungan Pakatan Rakyat (PR), antara lima negeri yang jatuh pada PRU 2008. Abu Hasan gagal hadir mesyuarat sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos, 2009.

Sidang DUN bermesyuarat kali pertama selepas PRU 2008 pada 5 Mei, 2008, mesyuarat kedua (20 Mei, 2008), mesyuarat ketiga (25 Mei, 2008), mesyuarat keempat (18 November, 2008), mesyuarat kelima (19 April, 2009) dan berikutnya, mesyuarat keenam (9 Ogos, 2009).

Peguam SPR membangkitkan isu mesyuarat kelima dan keenam adalah mesyuarat yang berbeza kerana hujah mereka, mesyuarat kelima itu dijalankan pada penggal pertama manakala mesyuarat keenam adalah mesyuarat pertama pada penggal kedua.

Hujah mereka, walaupun definisi perkataan “mesyuarat” itu tidak disebut dalam Undang–Undang Tubuh Negeri Kedah dan hanya disebut dalam Peraturan-Peraturan Tetap Dewan.

Pada 21 Januari, 2013 Mahkamah Persekutuan memutuskan kerusi Kota Siputeh tidak kosong kerana Abu Hasan, wakil Barisan Nasional (BN), bukan gagal menghadiri dua persidangan DUN pada 2009 secara berturut-turut.

Ketidakhadiran beliau selama dua kali berturut-turut pada 9 April dan 9 Ogos, 2009  tanpa kebenaran menyebabkan speaker Kedah ketika itu, Abdul Isa Ismail mengisytiharkan kerusi tersebut kosong. Beliau dilaporkan memaklumkan beliau sakit dan lambat menghantar sijil sakit.

Dalam pada itu pada 11 Februari, 2020 Mahkamah Persekutuan memutuskan DUN Sarawak membuat keputusan betul dalam melucutkan kelayakan Ting Tiong Choon sebagai Adun Pujut berhubung statusnya memiliki dua kewarganegaraan.

Ia membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 7-2, dan memetik Perkara 19 Perlembagaan Sarawak dan Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan DUN mempunyai kata putus dalam perkara seumpama itu dan prosiding DUN tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.

Ting dari DAP dilucutkan kelayakan sebagai Adun pada 12 Mei, 2017 setahun selepas pilihan raya negeri, kerana memiliki dua kewarganegaraan iaitu Australia dan Malaysia.

Dalam menentukan status wakil rakyat, pada 5 Disember, 2018 speaker ketika itu, Mohamad Ariff Md Yusof mengarahkan Ahli Parlimen Cameron Highlands C Sivarraajh meninggalkan dewan dan mendapatkan pengesahan sama ada diberi penangguhan susulan keputusan mahkamah membatalkan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum (PRU14).

Pada 30 November, 2018 Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan kerusi Parlimen Cameron Highlands yang dimenangi beliau, calon BN, sebagai terbatal dan tidak sah selepas didapati wujud amalan rasuah.

Manakala dalam kes melibatkan Ahli Parlimen Menglembu Fan Yew Teng yang didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di bawah Akta Hasutan dan dikenakan denda RM2,000 dan enam bulan penjara pada 13 Januari, 1975 diisytiharkan hilang kelayakan sebagai anggota Dewan Rakyat dan kerusinya kosong. SPR mengambil tindakan susulan mengadakan pilihan raya kecil apabila dimaklumkan oleh Parlimen.

Mengenai ketidakhadiran sidang dewan perundangan, kes melibatkan bekas presiden MCA Tan Koon Swan membawa kepada keputusan beliau meletakkan jawatan. Beliau yang disabitkan kesalahan dalam kes Pan-El di Singapura beberapa bulan selepas PRU 1986 dan dikenakan hukuman penjara dua tahun oleh republik itu, terpaksa melepaskan jawatannya pada tahun berikutnya.

Beliau tidak dapat hadir ke Dewan Rakyat untuk mengangkat sumpah dalam tempoh enam bulan daripada tarikh pilihan raya. Keperluan ini diperuntukkan menerusi Artikel 59(2) yang menyebut bahawa “jika seseorang ahli tidak mengambil kerusinya dalam masa enam bulan dari tarikh majlis Parlimen itu bersidang bagi pertama kalinya selepas pemilihannya atau dalam masa yang lebih lanjut sebagaimana yang dibenarkan oleh Majlis Parlimen itu, maka kerusinya hendaklah menjadi kosong.”

Negara mempunyai banyak kes yang menarik dalam memahami dan mentakrifkan parameter bidang kuasa speaker dan dewan perundangan, di kedua-dua peringkat persekutuan dan negeri. Mengambil kira keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Adun Pelabuhan Klang dan Pujut, Sarawak, mahkamah tidak boleh dan tidak akan mencampuri urusan iaitu keputusan speaker dan dewan perundangan.

Dalam lain perkataan, ia antara SPR sebagai badan pengurusan pilihan raya dan dewan perundangan. SPR perlu mengesahkan kekosongan yang dimaklumkan speaker dan dewan perundangan, lalu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari.

Ada yang berpendirian tugas SPR hanyalah mengadakan pilihan raya manakala kekosongan termasuk di luar jangkaan akan dimaklumkan oleh speaker dewan.

Begitu juga dalam keadaan apabila pembubaran parlimen atau DUN diumumkan, menjadi tugas speaker memaklumkan kepada SPR bagi diadakan satu pilihan raya dalam tempoh yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan Negeri.

Satu lagi kekaburan kerangka perundangan yang penting dan menarik untuk diperkemaskan, jika wujud, demi memastikan prinsip pilihan raya demokrasi yang lebih adil, telus dan holistik diamalkan di Malaysia. – 20 Februari, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen