SAYA terbaca ekonomis Amanah menulis “Betulkah negara defisit kalau tidak ada GST” di portal berita The Malaysian Insight.
Dr Dzulkefly Ahmad antara lain menulis: “Berbilion ringgit dalam projek-projek pembangunan infrastruktur mega seperti MRT, ECRL dibuat di luar perbelanjaan, tapi masih dijamin oleh kerajaan”.
Ulasnya lagi, kini hutang kerajaan pusat ialah RM687.43 bilion, pada kadar 10.8% pertumbuhan hutang, ramalan hutang kerajaan akan mencecah RM1 trilion pada 2021!
Sebenarnya saya sendiri tidak faham, mengapa ekonomis oposisi seakan begitu mempercayai bahawa Malaysia akan bankrap jika hutang persekutuan (dalam Ringgit Malaysia) melepasi 55% berbanding KDNK?
Waktu Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri, hutang persekutuan terkumpul berbanding KDNK pernah mencecah 103.4% pada 1986, tetapi Malaysia tidak juga bankrap sampai hari ini.
Pagi ini, ada saya membaca data Country List Government Debt to GDP 2016 dalam Trading Economics - Jepun (250.4%), Singapura (112%), Amerika Syarikat (105.4%), United Kingdom (89.3%), Malaysia (53.2%), China (46.2%), Indonesia (27.9%).
Jepun, Singapura, Amerika Syarikat dan UK tak bankrap pun, kalau ya ekonomis oposisi takut sangat Malaysia akan bankrap dengan dakyah aneh ini.
Selain itu, walaupun ada kekangan perundangan berdasarkan Akta Jaminan Pinjaman 1959 dan Akta Peruntukan Kerajaan 1983, takkanlah mahkamah di negara ini begitu naif untuk mengumumkan kerajaan Malaysia akan bankrap?
Seperkara lain, sejak merdeka sampai hari ini, sejak bila hutang persekutuan terkumpul saban tahun pernah “menurun” secara mendadak, kalau dilihat pada rekod Bank Negara Malaysia?
Jawapannya, tak pernah berlaku pun kalau ya ekonomis oposisi nak “main politik” jika mereka ambil kerajaan persekutuan nanti, hutang negara akan menurun secara mendadak.
Fahamnya di sini, wacana Malaysia akan bankrap disebabkan hutang persekutuan terkumpul kian meningkat, menurut Dr Dzulkefly, dijangka mencecah RM1 trilion pada 2021 nanti, semacam membuang masa walaupun niatnya murni untuk merejam rejim kleptokrasi sempena PRU14 ini.
Kerajaan persekutuan bolehlah menurunkan hutang persekutuan dengan berbelanja sedikit, memotong perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan secara besar-besaran. Laksana Dasar Sekolah Swasta dan Penswastaan Semua Universiti Awam umpamanya, maka bolehlah perbelanjaan persekutuan dikurangkan, demi mengurangkan hutang persekutuan.
Tapi, polisi sebegitu akan meninggalkan kesan berganda (multiplier effect) yang buruk daripada aspek ekonomi dan impak sosial, kepada rakyat terbanyak kelak.
Di mana-mana forum pun, selalu saya sebut, kek yang biasa dimakan oleh 10 orang tidak cukup dimakan oleh 1,000 orang. Tidak dapat tidak, saiz kek yang cukup sedia dimakan oleh 10 orang tadi mesti diperbesarkan sampai cukup dimakan oleh 1,000 orang.
Saiz ekonomi negara pun patut diperbesarkan, kerana populasi rakyat kian bertambah, sekarang 34 juta warganegara.
Jarang kita dengar murid tak cukup tempat belajar kerana saiz lantai sekolah kerajaan terus dibina ikut pertambahan populasi penduduk setempat.
Ini, contoh kerajaan pusat terus berbelanja lebih walaupun tiada hasil pulangan keuntungan (ROI) setimpal.
Tapi, kerana saiz hospital umpamanya tidak berkembang sihat seperti saiz sekolah kerajaan, maka, isu lambakan graduan bidang perubatan serta lambakan pesakit di hospital kerajaan menjadi salah satu masalah di tanah air kita ini.
Kalau kerajaan pusat diasak untuk berbelanja lebih untuk membina lebih banyak hospital kerajaan umpamanya, mungkin salah satu isu ekonomi ini boleh ditangani secara materialisme.
Di samping itu, kalau kerajaan pusat mahu mencatatkan lebihan kewangan (surplas) secara atas kertas, bukan susah, projek pembangunan kerajaan boleh dilaksanakan melalui agensi berkaitan.
Apabila projek kerajaan dilaksanakan melalui agensi berkaitan kerajaan, segala hutang pelaburan serta bon korporat yang diterbitkan dulu sudah tentu tidak direkodkan sebagai liabiliti hutang persekutuan terkumpul dalam Penyata Kira-kira Tahunan negara kelak.
Selalu saya membawa contoh, kerajaan persekutuan melalui syarikat 100% milik MoF Inc. bernama DanaInfra Limited Co. pernah menerbitkan bon korporat dengan jaminan kerajaan, supaya satu lagi firma subsidiari MoF Inc. bernama Prasarana Nasional sendiri boleh membina fasa 2 MRT Kajang Ke Sungai Buloh.
MRT 100% dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan menjadi milik rakyat selepas siap kerana projek pengangkutan awam moden itu awal-awal lagi tidak difaraid kepada kroni sebagaimana pada era Dr Mahathir menjadi perdana menteri dulu.
Mengapa secara atas kertas, projek MRT itu siap tapi hutang persekutuan terkumpul tidak bertambah RM21 bilion?
Jawapannya, bon korporat itu tidak direkodkan sebagai liabiliti dalam Penyata Kira-kira Tahunan kerajaan persekutuan.
Cara perbelanjaan ini telah lama dilaksanakan oleh negara-negara maju.
China dan Singapura umpamanya melalui agensi berkaitan kerajaan serta bank pembangunan 100% milik negara telah lama melaksanakan cara berbelanja sebegini demi membesarkan saiz ekonomi negara secara sihat, sejajar dengan pertambahan populasi penduduk.
Kerajaan di kedua-dua negara itu melaksanakan sendiri permodalan secara besar-besaran (industrialization capitalsm), dengan menerbitkan bon korporat dalam sektor perumahan rakyat serta pengangkutan awam moden, demi membesarkan saiz ekonomi negara masing-masing.
257% hutang korporat Singapura berbanding KDNK 2014 merupakan rekod tertinggi dunia, lebih tinggi berbanding China (166%), kenapa kedua-dua negara republik itu tidak bankrap sampai hari ini?
Negara tidak akan bankrap selagi hutang dalam mata wang negara tersebut. Ringgit Malaysia bukan dijadikan oleh Allah, tapi diwujudkan oleh kerajaan Malaysia berdasarkan undang-undang diwujudkan di negara ini.
Berapa banyak AS dolar dalam Central Bank of United State atau dalam White House pun, rakyat Malaysia serta kerajaannya menjalankan aktiviti ekonomi di negara ini dengan menjadikan ringgit Malaysia sebagai instrumen sosial, tidak lebih dari itu.
Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2016 mendedahkan hutang persekutuan RM648.475 bilion adalah menyamai 52.7% KDNK, Malaysia akan bankrap?
RM1.3624 trilion hutang korporat yang menyamai 107.9% GDP 2016, patut meletakkan Malaysia telah bankrap berapa tahun lalu, mengapa sampai hari ini masih belum bankrap?
Bon korporat yang dijamin oleh kerajaan sebenarnya pelaburan paling selamat dalam negara, kerana kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) akan tetap mempertahankan kepentingan pelabur sekiranya terdapat masalah bayaran balik bagi satu-satu projek pembangunan negara tersebut.
Lagi pun, birokrasi kewangan negara ini membolehkan BNM sendiri membeli bon yang tak terjual, jika diarahkan oleh MoF.
Dengan Rizab antarabangsa BNM sehingga 15 Ogos, 2017 bernilai berjumlah AS$100.4 bilion atau RM431 bilion, berbanding AS$99.4 bilion pada 31 Julai, 2017, adakah BNM tidak boleh mempertahan kepentingan serta hutang pelaburan berkaitan kerajaan persekutuan?
Itu, belum mengambil kira “dana tabung negara” seperti RM721 bilion aset KWSP umpamanya, wajar dilaburkan untuk membeli bon korporat yang diterbitkan dengan jaminan kerajaan.
Kalau saya ada duit banyak pun, akan saya pergi melabur dalam pelaburan berisiko rendah dan selamat, takkan duit KWPS yang begitu banyak afdal disimpan beku bawah bantal.
Kalau saya jadi pemimpin oposisi, saya tidak akan berbincang hal yang sia-sia seperti “Malaysia akan bankrap jika hutang persekutuan terkumpul (dalam ringgit Malaysia) melebihi 55% KDNK”.
Saya akan berbincang program ekonomi yang benar-benar memberi faedah kepada rakyat terbanyak serta dapat dilaksanakan secara materialisme.
Saya akan bincang bagaimana untuk mewujudkan insurans kesihatan kebangsaan supaya tiap-tiap rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih bermutu di hospital kerajaan sendiri berbanding hospital swasta yang mementingkan segelintir puak saja?
Saya akan mengkaji, bolehkah dalam jumlah caruman sedia ada membabitkan majikan dan pekerja, diwujudkan tabungan dana awam ala KWSP ini untuk melaksanakan program Insurans Kesihatan Kebangsaan ini?
Kalau perlu untuk menerbitkan bon korporat dengan jaminan kerajaan, saya akan berbincang keperluan kerajaan persekutuan untuk menubuhkan satu lagi syarikat subsidiari 100% milik MoF Inc.
Bon korporat dengan jaminan kerajaan ini akan saya minta dibeli oleh KWSP serta “tabungan” Insurans Kesihatan Kebangsaan yang baru ditubuhkan ini.
Dalam perancangan saya, antaranya hendak membesarkan saiz ekonomi negara, membina lebih banyak hospital kerajaan sejajar dengan populasi penduduk yang kian bertambah mengikut demografi setempat.
Saya percaya program materialisme sebegini lebih disokong oleh rakyat terbanyak daripada kalangan graduan perubatan yang menganggur serta pesakit sekeluarga yang mempunyai pengalaman jerih menunggu lama di hospital kerajaan yang kian sesak, bukan sebab rawatan tak bermutu.
Saya yakin program ekonomi sebegini lebih menguntungkan rakyat terbanyak berbanding segelintir puak (for the many, not the few).
Saya yakin program ekonomi sebegini lebih memberi faedah kepada rakyat berbanding wacana “Malaysia akan bankrap jika hutang persekutuan terkumpul melebihi 55% KDNK” yang sia-sia.
Hutang persekutuan hatta hutang korporat yang dijamin kerajaan selagi dalam ringgit Malaysia, tidak akan bankrapkan negara sebenarnya.
Jadi jangan bincang tajuk yang sia-sia serta langsung tidak membawa faedah kepada rakyat terbanyak di PRU14.
Setuju? – 14 Mac, 2018.
* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
* Zainulfaqar Yaacob suka mengulang dengar lagu rock She’s Gone dendangan kumpulan Steelheart sejak kematian isteri muda cantik jelita pada Januari 2017 akibat barah. Masa lapangnya dihabiskan dengan melaksanakan D.E.K.P.O.S atau Diskusi Ekonomi Politik Sosial iaitu projek wacana kecil-kecilan secara peribadi, dan menulis juga di blog faqar.blogspot.com
Komen