SEBUAH badan yang mengawal selia skim Beli Sekarang Bayar Kemudian perlu diwujudkan kerana pengguna berisiko jatuh muflis sekiranya kaedah pembayaran mudah itu tidak dipantau oleh pihak berkuasa berkaitan, kata kumpulan pengguna dan pakar kewangan.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight kerajaan harus melihat perkara itu dengan serius dan bukan hanya membenarkan syarikat tertentu yang menawarkan skim Beli Sekarang Bayar Kemudian menjalankan perniagaannya tanpa dipantau.
Tambah mereka walaupun skim itu memberikan pengguna akses mudah kepada wang tunai untuk pembelian baharu, ia juga boleh mendatangkan masalah kewangan.
Skim Beli Sekarang Bayar Kemudian ialah sejenis skim pembiayaan jangka pendek yang membolehkan pengguna membeli sesuatu barangan dan membayarnya kemudian.
Ia distrukturkan sebagai pelan ansuran atau kemudahan pinjaman wang yang melibatkan pengguna, pembiaya dan peniaga dari mana pembelian dibuat.
Pengurus kanan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Baskaran Sithamparam bimbang dengan senario semasa di mana ramai belia terperangkap dalam skim itu.
Beliau berkata setakat 2018 jumlah kebankrapan membabitkan mereka yang berusia di bawah 35 tahun sudah tinggi dan skim Beli Sekarang Bayar Kemudian ini boleh menyebabkan lebih ramai golongan muda yang bekerja berdepan masalah kewangan jika ia tidak dikawal.
“Kerajaan perlu melihat perkara ini dengan serius. Perlu ada badan yang mengawal selia sistem. Pada ketika ini kadar faedah adalah sangat tinggi dan penalti untuk membayar lewat adalah sangat kejam.
“Jika kita biarkan perkara ini berterusan, saya bimbang ramai generasi muda kita akan berhutang dan seterusnya muflis. Mereka yang disenaraihitamkan pun boleh membeli barangan menggunakan aplikasi Beli Sekarang Bayar Kemudian, ini tidak bagus dan tidak digalakkan,” katanya.
Di Malaysia syarat asas untuk melayakkan diri menggunakan skim Beli Sekarang Bayar Kemudian ialah seseorang itu perlu merupakan seorang warganegara Malaysia, berusia 18 tahun ke atas dan mempunyai kad debit, nombor telefon dan alamat e-mel. Pengguna kemudiannya boleh menikmati pembelian produk dengan mudah.
Dianggarkan dengan caj lewat, pengguna akan membayar lebih untuk produk itu berbanding jika mereka dikenakan faedah. Yuran pembayaran lewat mungkin berbeza antara bayaran tetap kepada peratusan bayaran tertunggak.
Malah sebelum penemuan penyelidikan skim Beli Sekarang Bayar Kemudian menunjukkan 68% rakyat Malaysia percaya mereka tidak mempunyai simpanan mencukupi, 52% menunjukkan mereka akan berdepan kesukaran mengumpul RM1,000 untuk kecemasan dan 47% mengaku terlalu banyak berhutang. Skim Beli Sekarang Bayar Kemudian BNPL menyebabkan keadaan ini lebih teruk.
Turut bersetuju dengan Baskaran ialah Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School.
Ahli akademik itu berkata tanpa peraturan, ramai pengguna akan berhutang dan tidak dapat membayar tepat pada masanya kerana mereka sudah mempunyai komitmen lain seperti pembayaran pinjaman kereta atau perumahan.
“Skim ini adalah fenomena pada masa kini. Setiap orang mempunyai sekurang-kurangnya satu aplikasi Beli Sekarang Bayar Kemudian. Pada 2021 terdapat 400 juta pengguna tetapi pada 2022 terdapat 1.5 bilion pengguna. Bayangkan betapa pantasnya ia berkembang.
“Jadi kita semua berhutang. Walaupun namanya menunjukkan sebaliknya, kita sebenarnya berhutang. Kadar faedahnya tinggi. Tambahan pula ramai golongan muda yang bekerja mempunyai pinjaman sendiri seperti sewa beli atau pinjaman perumahan dan beberapa pinjaman pendidikan. Ini adalah pinjaman yang perlu dibayar tepat pada masanya.”
“Jika mereka membuat lebih banyak pinjaman dengan menggunakan aplikasi ini, bagaimana mereka boleh kekal komited? Kita perlu ingat gaji kita tidak meningkat setiap bulan, bagaimana kita menyimpan simpanan kita apabila tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar komitmen bulanan,” kata ahli akademik itu.
Gunakan aplikasi dengan bijak
Bagi Dyana Amin yang berusia 32 tahun, aplikasi Beli Sekarang Bayar Kemudian hanya boleh digunakan pada barangan penting dan tidak semestinya untuk memenuhi keperluan seseorang.
Ibu kepada tiga anak itu berkata beliau hanya akan menggunakan aplikasi itu untuk urusan penting seperti hari raya.
“Kitu perlu mengawal diri. Saya tahu itu sukar tetapi kita boleh mengawal diri sendiri. Seperti saya sendiri, saya akan menggunakan aplikasi itu untuk membeli dua barangan dalam masa dua bulan. Sebaik sahaja saya membayar keseluruhan proses kedua-dua item itu, saya tidak akan menggunakannya sehingga ada keperluan.
“Kemudian saya akan menggunakannya untuk membeli baju raya. Daripada berbelanja beratus-ratus untuk baju raya, anda boleh menggunakan aplikasi itu untuk membayar separuh daripada harga dan kemudian membayar selebihnya dalam masa dua bulan. Kuncinya adalah untuk menjadi bijak. Malah Jika ada peraturan, tetapi anda membelanjakan wang anda dengan sewenang-wenangnya, anda akan berdepan masalah,” katanya.
Eksekutif Pemasaran Nik Haizal Muhd Kamil pernah menjadi pengguna aplikasi Beli Sekarang Bayar Kemudian tetapi berhenti menggunakan skim itu awal tahun ini.
“Saya tidak mahu menggunakannya lagi. Pernah dulu saya terlupa membuat pembayaran dan hanya menyedarinya sehari kemudian. Walaupun itu adalah kesilapan saya, saya tidak mahu mengulanginya lagi. Skim itu sebenarnya menyeronokkan untuk digunakan tetapi apabila terlupa, penalti sangat membebankan,” tambahnya.
Bagaimanapun beliau bersetuju semuanya terpulang kepada kawalan diri.
“Anda perlu tahu had anda dan status kewangan sendiri. Anda tidak boleh membelanjakan RM1,000 untuk tudung berjenama atau tshirt hanya untuk membayarnya dalam tempoh tiga bulan. Anda menyusahkan diri sendiri,” tambahnya. – 20 Februari, 2023.
Komen