SETIAP parti wajar dibenarkan untuk mempertahankan kerusi yang disandang pada pilihan raya negeri akan datang, kata Anthony Loke.
Setiausaha agung DAP itu menekankan yang perkara ini perlu menjadi prinsip utama yang perlu dipatuhi setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan dalam proses rundingan kerusi.
“Buat pertama kali dalam sejarah DAP, kita pergi ke Ibu Pejabat Umno untuk bermesyuarat dengan Sekretariat Kerajaan Perpaduan. Setiap parti telah bersetuju untuk bekerjasama pada pilihan raya di enam negeri akan datang.
“Kami dalam proses rundingan (untuk kerusi) tetapi rundingan perlu berdasarkan satu prinsip utama iaitu penyandang (parti) perlu dibenarkan mempertahankan kerusi mereka,” kata ahli Parlimen Seremban itu pada ucap tama Konvensyen DAP Negeri Sembilan pagi ini yang disiarkan secara langsung di Facebook.
Negeri Sembilan adalah salah satu daripada enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat.
Lima lagi negeri adalah Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Loke turut menasihati perwakilan supaya tidak memandang rendah Perikatan Nasional walaupun mereka tidak mempunyai sebarang kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Sembilan.
Beliau menggunakan contoh kejayaan Pakatan Rakyat pada 2008 sebagai sebab mengapa pembangkang tidak boleh diperlekehkan.
“Siapa sangkat kita akan menang di Selangor dan Pulau Pinang. Apa-apa sahaja boleh berlaku, jadi kita perlu bekerja keras walaupun atas kertasnya kita sudah selesa dengan kerusi itu. Kita tak boleh pandangan ringan tugas ini atau kita akan kalah,” katanya.
Pada Jumaat, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pemimpin enam negeri sedang mempertimbangkan untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dan akan berjumpa minggu depan bagi membincangkan tarikh sesuai pembubaran DUN masing-masing.
Katanya lagi mesyuarat itu diadakan bagi mencapai kata sepakat dan dianjurkan Selangor.
“Mesyuarat akan diadakan minggu depan dengan Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari akan jadi penganjur.
“Tempoh masa (pembubaran dan adakan pilihan raya negeri) semakin dekat. Jadi jika tidak ada isu, pilihan raya negeri akan diadakan sama ada Jun atau Julai,” katanya lagi.
Pakatan Harapan Pulau Pinang sebelum ini mencadangkan PRN diadakan pada Jun. – 19 Februari, 2023.
Komen