BEKAS perdana menteri Muhyiddin Yassin bertekad untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang memfitnah beliau mengambil rasuah.
Presiden Bersatu itu menegaskan tiada satu sen pun masuk ke akaun banknya daripada perolehan vaksin Covid-19 sambil menambah beliau keliru kenapa tuduhan sedemikian dilemparkan terhadapnya.
“Saya sudah maklumkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) bahawa saya tidak bersalah dan mereka nampak berpuas hati. Saya harap perkara ini tidak dibangkitkan lagi,” jelas Pengerusi Perikatan Nasional itu.
“Peguam saya sedang melihat untuk mengambil tindakan undang-undang dan kami tidak akan berhenti setakat itu sahaja,” katanya.
“Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara sudah meneliti perolehan vaksin Covid-19 tetapi ada sesetengah pihak berhasrat untuk pergi lebih jauh dan mengaitkan nama saya dengan rasuah,” kata Muhyiddin.
Bagaimanapun beliau tidak menamakan sesiapa.
Semalam SPRM mengesahkan kenyataan Muhyiddin direkodkan dalam siasatan berhubung RM300 juta yang diterima Bersatu daripada dana pakej rangsangan ekonomi Covid-19.
Sumber berkata Muhyiddin hadir di pejabat suruhanjaya anti rasuah di Putrajaya pada Jumaat.
Kedua-dua akaun bank milik parti itu masih dibekukan sehingga tindakan lanjut, tambah sumber itu.
Sumber itu juga berkata, siasatan SPRM mendapati terdapat kontraktor yang membayar rasuah kepada pihak tertentu dalam Bersatu bagi tujuan mendapatkan projek.
“Daripada dana yang diperoleh parti, sesetengahnya didakwa tidak digunakan dalam kempen pilihan raya umum ke-15,” katanya.
Bercakap lanjut, Muhyiddin berkata beliau berada dalam kerajaan selama 50 tahun dan tidak pernah menyalahgunakan kuasanya.
“Saya tidak tahu kenapa semua tuduhan ini dilemparkan kepada saya sekarang. Mungkin kerana kita akan menghadapi enam pilihan raya negeri jadi saya boleh dianggap sebagai orang jahat dan mereka (seteru politik) boleh menang.
“Saya juga pernah menjadi perdana menteri, sindiran seperti itu tidak sepatutnya dibuat.
“Saya juga pengerusi Perikatan Nasional dan saya tahu ini adalah muslihat politik supaya rakyat marah dan menganggap saya pencuri, penipu dan saya menyalahgunakan kuasa saya.
“Walaupun saya meluluskannya ketika itu, ia tidak akan sah kerana saya tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
“Mereka yang menderma kepada dana parti adalah mereka yang menyokong perjuangan kami dan mereka yang percaya apa yang Perikatan lakukan. Ia tidak ada kena mengena dengan Jana Wibawa (program di bawah Kementerian Kewangan),” kata Muhyiddin.
Dua minggu lalu, SPRM membekukan akaun Bersatu hanya 24 jam selepas parti itu mengisytiharkan transaksi 2020 dan 2021.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan perkara itu dan berkata dua akaun milik parti itu dibekukan bagi memudahkan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Azam bagaimanapun enggan mendedahkan butiran terperinci.
Pada 6 Januari lalu, SPRM menahan reman seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat yang bertindak sebagai orang tengah dalam pengagihan projek kerajaan di bawah pakej rangsangan ekonomi dari 2020 hingga 2022. – 18 Februari, 2023.
Komen