Harga sayur murah boleh jejas operasi, kata petani, pemborong


Noel Achariam

Hujan lebat berterusan dan bencana banjir yang melanda beberapa negeri sejak dua bulan lalu menjejaskan pengeluaran sayur-sayuran lantas menyebabkan lonjakan harga bahan mentah seperti tomato, bendi, timun, terung dan kacang panjang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari 2023.

PENURUNAN harga sayur mungkin baik bagi pengguna namun boleh menjejaskan jualan hasil tani dan operasi kebun, kata petani dan pemborong.

“Kalau harga turun kepada RM3 atau RM4 sekilogram tak mengapalah. Tapi kalau turun sampai RM1 atau RM2 sekilo kita rugilah.

“Perniagaan kami akan terjejas sebab tak pulang modal untuk tampung kos beli barang, overhed dan gaji pekerja,” kata Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur Wong Keng Fatt kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, walaupun harga sayur sudah turun jualan bagaimanapun tidak memberangsangkan.

“Harga tomato sekarang RM4.50 sekilogram (sebelum: RM10), bendi RM7 hingga RM8 (sebelum: RM14), kacang panjang RM3 hingga RM4 (sebelum: RM11) dan timun Jepun RM3 (sebelum:RM7).”

Menurut Wong, cuaca yang semakin baik ketika ini menghasilkan tuaian yang banyak, sekali gus mempengaruhi harga sayur di pasaran.

“Kami jangka harga akan turun lagi minggu depan, mungkin antara 20% hingga 30%.

“Kami juga jangka jualan tak banyak pada bulan puasa tetapi harga akan naik selepas Hari Raya,” katanya.

Hujan lebat berterusan dan bencana banjir yang melanda beberapa negeri sejak dua bulan lalu menjejaskan pengeluaran sayur-sayuran lantas menyebabkan lonjakan harga bahan mentah seperti tomato, bendi, timun, terung dan kacang panjang.

Presiden Persekutuan Persatuan Peladang Sayuran Lim Ser Kwee harga sayuran seperti timun sekarang turun mendadak kepada RM2 sekilogram.

“Bulan lepas semua orang merungut harga sayur mahal. Sekarang hasil tanaman terlebih pula dan kami terpaksa jual pada harga yang murah, tetapi ini merugikan kami.

“Kami pula tiada pilihan dan tidak boleh hentikan pengeluaran kerana bimbang kalau cuaca buruk semula, yang sudah tentu akan menjejaskan bekalan sayur.

“Cuma kalau harga sayur RM6 sekilogram tak mengapalah. Kalau terus turun kepada RM1 sekilogram teruklah kami. Sebab ada banyak kos yang perlu kami tanggung misalnya gaji pekerja,” katanya. – 18 Februari 2023. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen