KPM mansuh pertandingan tambah beban guru, tak beri impak kepada murid


KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan memansuhkan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberi impak besar terhadap pembelajaran murid dan hanya menambahkan beban tugas guru bermula sesi persekolahan 2023/2024.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam kenyataan malam ini berkata antara contohnya ialah membabitkan pertandingan keceriaan pusat sumber, tandas tercantik, Bilik Operasi Sistem Pengurusan Buku Teks (SPBT) terbaik dan yang seumpamanya.

Fadhlina berkata keputusan itu merupakan antara tujuh langkah segera yang diambil dalam teras kelima KPM yang memfokuskan kepada isu kebajikan termasuk tekanan dihadapi para guru, hasil daripada laporan awal diterima.

“Kesemua langkah ini akan diperincikan oleh pengurusan tertinggi KPM dan akan dilaksanakan bermula sesi persekolahan 2023/2024. KPM sentiasa komited memastikan kesejahteraan guru terus terpelihara,” katanya.

Katanya antara langkah lain yang diputuskan ialah mengurangkan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM), yang melibatkan guru kepada setahun sekali sahaja.

“Langkah lain ialah menetapkan waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid yang lebih fleksibel kepada guru, iaitu 12 tengah hari untuk sesi pagi dan 5 petang untuk sesi petang bagi mengelakkan kesesakan dalam sistem,” katanya.

Selain itu, Fadhlina berkata pelantikan pengawas peperiksaan awam yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) terbuka kepada individu selain guru yang sedang berkhidmat seperti pesara kerajaan, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pendidian Tinggi (IPT).

Bagaimanapun, Fadhlina berkata mereka tetap perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan.

KPM juga katanya akan mengehadkan penganjuran sambutan Hari Guru Tahunan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah, selain menetapkan ringkasan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) di peringkat KPM bagi memastikan kembali memenuhi keperluan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil.3/1999, yang merangkumi elemen objektif, pengajaran dan refleksi.

Langkah ketujuh kata Fadhlina pula ialah memperkukuh autonomi guru dalam perancangan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran, serta pentaksiran bilik darjah (PBD) dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) sebagai rujukan. – Bernama, 17 Februari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen