ANTARA perkara yang paling ditakuti untuk pemandu lori atau kenderaan besar mengangkut barangan di kawasan pedalaman Sarawak ialah kenderaan mereka rosak di tengah jalan pada lewat malam dan di “zon mati” – kawasan di mana tiada perkhidmatan telefon.
Itu adalah mimpi paling ngeri, kata pemandu Matius McDonald, Isac Mutang dan Singa Buas yang perlu melalui jalan pedalaman Lawas hingga ke sempadan Sarawak-Kalimantan, kepada The Malaysian Insight.
Bagi Matius, ia keadaan paling teruk.
Katanya, bantuan mungkin tidak akan tiba awal dan dengan tiada telefon, mereka tidak akan dapat menghubungi sesiapa pun untuk minta tolong.
Beliau berkata pemandu sepertinya akan terpaksa tidur di dalam hutan gelap jika waktu sudah malam dan bantuan tidak tiba.
Tidak ada sesiapa akan melalui jalan kawasan pedalaman pada waktu malam.
Prosedur operasi standard (SOP) untuk pemandu lori di kawasan pedalaman apabila kenderaan mereka rosak atau tersekat dalam lumpur ialah, berada berhampiran dengan kenderaan itu dan menunggu ada pemandu lain lalu untuk meminta bantuan.
Ada kemungkinan mereka terpaksa menunggu lama kerana tidak banyak kenderaan melalui kawasan itu dan jarak antara kenderaan sangat jauh.
“Keadaan boleh jadi terdesak bila anda tidak ada makanan dan air ketika menunggu bantuan tiba,” kata Matius, bercerita tentang pengalamannya.
“Saya lapar dan dahaga ketika terkandas di tengah kawasan pedalaman, tidak tahu di mana dan jauh dari perkampungan terdekat.”
Dalam keadaan lain, Matius berkata beliau berjalan kaki berjam-jam lamanya untuk mencari lokasi yang mungkin ada isyarat telekomunikasi untuk menghubungi bantuan.
Katanya, beliau terpaksa meninggalkan kenderaan pacuan empat rodanya jika hendak mencari isyarat telefon.
“Saya paling takut jika barang yang saya angkut itu dicuri atau rosak.”
Matius berkata ada juga kes di mana kenderaan yang rosak terpaksa ditinggalkan di jalan raya selama beberapa hari.
Katanya, beliau sendiri banyak mengalami keadaan itu selama 11 tahun memandu mengangkut barang di kawasan pedalaman Lawas.
Ada sekali, katanya satu daripada tayar kenderaan pacuan empat roda itu pancit dan pernah juga tangki minyak bocor.
Kebanyakan kenderaan yang rosak mengalami masalah radiator, katanya.
“Kerosakan gandar juga sering berlaku. Ia biasa berlaku apabila kita bawa barang yang berat atau ketika kita cuba menarik kenderaan lain yang tersekat dalam lumpur.” – 18 Februari, 2023.
Berita penuh di sini.
Komen