KETUA pembangkang di bawah kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) akan diberi status layanan serupa seperti menteri, kata Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi PH itu berkata manifesto gabungan tersebut berjanji untuk menjadikan perkara itu sebagai salah satu usaha bagi mengiktiraf peranan pembangkang dalam kerajaan.
“Ketua pembangkang akan diberi status layan sama seperti menteri-menteri walaupun daripada Umno ataupun BN,” kata Dr Mahathir dalam “Policy Talk: Najis rasuah, jalan penyelesaian?” yang disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook rasminya.
Kerajaan PH juga katanya akan mewujudkan slot untuk pihak pembangkang membangkitkan agendanya dalam persidangan Parlimen, selain memperkasakan jawatankuasa pemilihan Parlimen.
Ia antara langkah yang akan diambil PH bagi membasmi budaya rasuah dalam tempoh jangka masa panjang, dengan mengukuhkan sistem akauntabiliti dalam kerajaan.
Bekas perdana menteri yang mengetuai Malaysia selama 22 tahun menyifatkan rasuah sebagai “penyakit yang akan menjejaskan kehidupan rakyat Malaysia”.
Mengulas lanjut, menurut Dr Mahathir, Malaysia memerlukan nilai yang menganggap rasuah sebagai satu jenayah dan menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menyemai budaya benci rasuah kepada anak-anak mereka.
“Apabila mereka membesar maka mereka akan tolak rasuah dengan sendirinya. Bagi yang dewasa, tak dapat tidak kita perlu guna undang-undang.
“Dan kita perlu selidik secara bebas akan kes-kes yang dilaporkan berkenaan dengan rasuah,” katanya.
Dr Mahathir berkata, Malaysia sudah jatuh ke tahap yang rendah apabila seluruh dunia menuduh pemimpin tertinggi negara terlibat dengan rasuah.
“Cuma di Malaysia sahaja tiada laporan kerana ditegah. Ini pun satu rasuah jugak.
“Menegah laporan benar adalah satu cara untuk memperluaskan amalan rasuah,” katanya. – 14 Mac, 2018
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan