SPRM siasat Muhyiddin isu RM300 juta dari dana bantuan Covid-19


Kalidevi Mogan Kumarappa

SPRM mengambil keterangan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bagi siasatan kes dana RM300 juta didaka diterima parti itu daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Februari, 2023.

AGENSI antirasuah mengambil keterangan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bagi siasatan kes dana RM300 juta didaka diterima parti itu daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Covid-19.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, kenyataan Muhyiddin dirakamkan semalam di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya.

Agensi itu juga sudahpun merekod keterangan beberapa pemimpin tertinggi parti berkenaan sebelum ini, kata sumber.

“Kertas siasatan berkenaan sudah dilengkapkan dan keputusan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat ini sama ada saranan untuk mempertimbangkan pertuduhan atau tidak terhadap beberapa individu,” kata sumber agensi itu.

Menurutnya, kertas siasatan sudah di fasa terakhir untuk dilengkapkan sebelum dihantar ke Pejabat Peguan Negara.

“Kedua-dua akaun bank milik parti itu masih dibekukan hingga tindakan lanjut,” katanya.

Mengikut sumber beberapa kertas siasatan dibuka, ada yang sudah lengkap dan dalam perbincangan dengan Timbalan Pendakwa Raya.

“Siasatan SPRM mendapati ada kontraktor yang membayar suapan kepada pihak tertentu dalam Bersatu bagi tujuan mendapatkan projek.

“Daripada dana yang diperoleh parti itu ada sebahagiannya disyaki digunakan untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya.

Minggu lalu Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan SPRM sudah membekukan akaun Bersatu sebelum ini untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

Siasatan itu dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram. – 17 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen